RAIFAL TEMPUR - Mencari Yang Optima Dalam Semua Keadaan Operasi Print E-mail
Backdated Issues 2009 - February 2009
Written by Zuridan Bin Muhammad   
Sunday, 05 October 2008

Dalam semua keadaan peperangan, terutama yang melibatkan angkatan darat raifal adalah merupakan senjata peribadi milik setiap anggota. Malah bagi anggota tentera laut mahupun udara, walaupun bukanlah menjadi tugas utama mereka untuk mengendalikan sistem raifal tempur ketika konflik memandangkan berada jauh dari garis hadapan atau tidak berhadapan secara fizikal dengan anggota tentera musuh, ia tetap menjadi senjata utama bagi setiap individu.

 Kepentingan yang diletakkan kepada raifal tempur tidak boleh dipertikaikan walau dalam cabang manapun seorang anggota berada, baik darat, laut mahupun udara. Ini dibuktikan dengan cara bagaimana setiap individu yang mula mengadakan latihan ketika berada di pusat latihan rekrut akan diberikan raifal tempur sebagai ‘peralatan’ pertamanya seakan memberikan petanda bahawa ia adalah merupakan simbol penerimaan beliau dalam sebuah organisasi tentera.

Latarbelakang
Sebelum membincangkan dengan lebih jauh mengenai raifal tempur, seharusnya kita mengetahui mengenai apakah yang dimaksudkan sebagai raifal atau lebih tepat lagi menggunakan Bahasa Melayu yang mungkin dianggap perkataan ‘lama’, iaitu senapang. Perbezaan istilah ini turut terdapat pada bahasa Inggeris yang menggunakan perkataan ‘gun’ sebagai istilah am senjata yang meluncurkan peluru (termasuklah dari pistol kepada meriam) berbanding ‘rifle’ yang terhad kepada senapang atau raifal. Istilah senapang adalah pada asasnya merupakan satu objek yang mempunyai tiub yang ditutup pada satu penghujung, di mana satu letupan dilaksanakan bagi tujuan melancarkan keluar sejenis objek dengan halaju tinggi. Tiub ini dikenali sebagai laras (barrel), lubang di tengah-tengah tiub ini pula diistilahkan sebagai ‘bore’ yang mungkin boleh diklasifikasikan sebagai lubang laras, bahagian laras yang tertutup dikenali sebagai kebuk (breech) atau pangkal laras, manakala bahagian yang terbuka adalah muncung laras (muzzle). Walaupun objek yang diluncurkan keluar dari muncung laras senapang kerap dipanggil projektil (projectile), namun istilah umum yang kerap diguna pakai adalah anak peluru (bullet). Anak peluru ini diluncurkan keluar akibat dari pembakaran atau letupan belerang (propellant). Keseluruhan komponen projektil, belerang, bekas belerang atau kelongsong dan pin peletup pula dipanggil sebagai peluru atau katrij (‘catridge’ atau ‘rounds’). Di negara ini pengistilahan senjata kerap menggunakan perkataan yang dipinjamkan terus dari Bahasa Inggeris dan ini kadang kala menimbulkan sedikit kekeliruan, malah bukanlah satu perkara yang pelik jika pengendali akan lebih memahami istilah Bahasa Inggeris berbanding perkataan sama dalam Bahasa Melayu. Ini sebenarnya bukanlah satu perkara baru kerana melainkan dalam Angkatan Tentera Malaysia (ATM) pihak awam tidak pernah menghasilkan sebarang kamus berkaitan komponen mahupun istilah berkaitan persenjataan.

    Pada awal penciptaannya, senapang menggunakan belerang hitam sebagai bahan pembakar bagi meluncurkan projektil. Sistem pengisian dilakukan dari muncung laras dengan belerang di masukkan dahulu dan diikuti dengan bebola logam yang kemudiannya ditekan menggunakan rod besi agar kedudukan kedua-dua belerang dan bebola logam berada rapat dan kemas di pangkal laras. Bagi melepaskan tembakan, sejenis bahan atau mekanisma yang akan menghasilkan api atau percikan api akan diaktifkan untuk membakar belerang hitam. Ini mungkin dalam bentuk mancis, tali sumbu atau batu api. Masa yang diambil untuk melepaskan tembakan bagi senapang versi awal ini bakal memakan masa dari 15 hingga 30 saat bergantung kepada jenis senjata serta kecekapan pengendali. Keadaan ini berterusan selama lebih seratus tahun. Malah menurut beberapa pengkaji sejarah, pasukan pemanah yang cekap dari abad ke 14 yang menggunakan busur panjang dikatakan mampu mengalahkan pasukan infantri British pada tahun 1815 yang bersenjatakan senapang Brown Bess Musket di kawasan medan pertempuran terbuka sekiranya mereka berhadapan antara satu dengan lain secara sendirian tanpa apa-apa bantuan dari pasukan artileri!

    Persoalan yang sering dikemukakan ialah kenapa sekiranya ini benar maka senapang terus mendapat tempat dikalangan pasukan tentera dan tidak senjata lain seperti panah atau lembing? Jawapannya ialah kerana adalah lebih mudah dan murah untuk melatih sejumlah anggota dalam penggunaan senapang berbanding panah, manakala kos untuk menghasilkan sebuah busar serta membekalkan anak panah bermutu tinggi adalah jauh lebih mahal berbanding kos untuk mengilangkan selaras senapang. Penggunaan senapang semakin diyakini menjelang tahun tengah abad ke 19 apabila antara tahun 1869 hingga 1890 berlaku beberapa perkara yang benar-benar merevolusikan penggunaan senjata tersebut di medan tempur. Ini dikaitkan dengan beberapa perkara, antaranya adalah teknologi bahan logam serta pembuatan berkaitan logam yang semakin kehadapan, serta kesan dari beberapa siri peperangan yang berlaku pada ketika itu, antaranya termasuklah Perang Krimea, Perang Saudara Amerika Syarikat serta beberapa siri peperangan di Eropah yang melibatkan kuasa Russia. Konflik dan peperangan yang berlaku dalam tempoh jangkamasa tersebut telah menjadi satu pemangkin kuat bagi penciptaan sistem senapang yang mempunyai kemampuan atau kualiti yang lebih baik dari sebelumnya. Walaupun untuk mempertingkatkan kemampuan senapang menggunakan teknologi terkini pada era tersebut bukanlah satu perkara mudah atau murah bagi sebuah angkatan tentera besar, namun kekurangan dari segi mutu dan prestasi mungkin bakal bermakna akan berhadapan dengan kekalahan. Alternatif ini tentunya tidak boleh diterima langsung. Bagi menampung kos perolehan sistem yang lebih baik, maka kebanyakan kerajaan telah mula menjual sistem senapang lama kepada pihak awam dan komersial. Ini sebenarnya adalah permulaan bagaimana di sesetengah negara seperti Amerika Syarikat dan Eropah, pemilikan sistem senjata api oleh pihak awam begitu tersebar luas.

    Apabila peluru berkelongsong dan cara pengisian peluru dari pangkal laras dicipta, ia menandakan satu revolusi yang telah mengubah corak pertempuran untuk selama-lamanya. Ini kerana buat pertama kalinya anggota tentera mampu melakukan pengisian peluru dan penembakan dengan lebih pantas dan ini secara langsung memberikan ketumbukan infantri yang beroperasi di medan penggandaan kuasa tembakan yang amat ketara. Apabila sistem senapang penembakan secara pengisian insani (bolt action) dari kelopak atau sistem bongkah dicipta, peningkatan kuasa tembakan ini terus melonjak. Selain kemampuan untuk membuat tembakan dengan lebih pantas, ia juga memberikan peluang kepada pengendali untuk memusnahkan lebih ramai musuh dalam jarak jangkauan tertentu. Kelongsong yang diperbuat dari gangsa juga bermakna sistem kedap tekanan terhasil dipangkal laras yang memaksa hampir keseluruhan tekanan pembakaran terhambur ke depan. Ini memberikan ketepatan tembakan dan jarak jangkauan anak peluru yang lebih jauh. Tidak lama kemudian belerang yang tidak mengeluarkan asap keterlaluan apabila terbakar atau ‘smokeless powder’ tercipta dan peluru pula dihasilkan dengan sistem jaket atau kulit keluli serta tembaga. Ini mengurangkan pengumpulan karbon dalam laras selian dari membolehkan penciptaan dan penghasilan sistem anak peluru dala kaliber yang lebih kecil. Menjelang abad ke 20, seorang anggota infantri mampu membuat tembakan yang agak tepat dalam jangkamasa kira-kira empat ke lima saat setiap das tembakan yang menjangkau hingga jarak 1,000 meter. Ini adalah satu peningkatan yang amat ketara, memandangkan hanya kira-kira 80 tahun sebelumnya seorang anggota infantri yang mahir hanya mampu membuat tembakan satu das dalam masa kira-kira 15 saat dan jarak jangkauan pelurunya hanyalah 200 meter sahaja!

Era senjata automatik

Pada era yang sama sistem mesingan turut sama dicipta. Sistem mesingan ini walau bagaimanapun tidaklah seperti yang wujud hari ini dan hampir keseluruhannya adalah merupakan sistem yang mempunyai banyak laras, menggunakan sistem suapan bongkah silinder yang menggunakan beberapa jenis sistem pergerakan mekanikal. Antara jenis mesingan yang terkemuka adalah sistem Mitrailleuse dari Perancis, Nordenfelt buatan Sweden dan sistem Hotchkiss serta Gatling buatan Amerika Syarikat. Hanya apabila sistem mesingan Maxim diperkenalkan pada 1885, barulah era sistem senjata automatik yang hakiki diperkenalkan kepada anggota angkatan tentera. Perbezaan yang paling ketara antara sistem mesingan sebelumnya dan sistem Maxim ialah bagaimana suapan peluru tidak lagi dilakukan oleh sistem pergerakan mekanikal yang dilakukan oleh pengendalinya (dengan cara memutar tangkai khas yang menjadi penggerak bongkah silinder serta picu). Sebaliknya suapan dilakukan dengan mengambil atau menggunakan sebahagian dari tekanan gas pembakaran belerang untuk menggerak atau memanipulasikan sistem pergerakan mekanikal yang akan melaksanakan kitaran, dari suapan sehinggalah kepada pelentingan kelongsong keluar dari sistem mesingan. Bekalan peluru pula adalah secara berterusan menggunakan rangkaian. Apa yang diperlu dilakukan oleh pengendali hanyalah untuk menarik picu ke belakang secara berterusan. Peluru akan dihamburkan keluar secara berterusan sehinggalah beliau melepaskan picu ke hadapan semula, peluru telah kehabisan atau senjata tersebut mengalami kerosakan.

    Sepertimana penciptaan sebelumnya, penggunaan sistem mesingan turut mempengaruhi penggunaan sistem yang sama dalam senapang atau raifal. Walaupun beberapa kajian dan eksperimen mengenai penggunaan ciri-ciri mesingan automatik yang mampu diasimilasikan dalam senapang, namun ianya tidak berlaku sehinggalah selepas Perang Dunia Pertama. Perang Dunia Pertama menyaksikan bagaimana kehendak operasi yang amat mencabar memerlukan penggunaan sistem khusus dan mesingan hanya dibekalkan kepada kumpulan atau anggota-anggota yang khas dan bagi tujuan tertentu sahaja. Keadaan ini berterusan sehingga Perang Dunia Kedua, namun ketika ini pihak Amerika Syarikat adalah negara pertama yang melihat penggunaan sistem senapang automatik untuk dibekalkan kepada anggota biasa dalam pasukan infantrinya. Senapang atau raifal tersebut adalah dalam bentuk raifal Garand M1 yang menggunakan sistem peluru kaliber .30 dan mampu menghasilkan tembakan efektif kira-kira 20 butir seminit. Lain-lain negara bagaimanapun masih terus menggunakan sistem insani seperti raifal Lee Enfield MK1 (Britain), Mauser KAR ’98 (Jerman), Arisaka ’38 (Jepun), Lebel M’16 (Perancis), Mosin Nagant (Rusia) dan Mannlicher M ’95 (Belanda/Romania). Sistem raifal yang digunakan ini menggunakan sistem peluru yang dianggap berkuasa tinggi dengan kaliber besar. Ia mempunyai jangkauan jarak efektif yang jauh dan pengendali sistem memerlukan tahap kecekapan penggunaan yang agak tinggi. Apa yang menarik ialah walaupun infantri menggunakan raifal yang menggunakan sistem alat kerja insani, sebahagian besar submesingan dan pistol yang digunakan secara berleluasa ketika parang tersebut telahpun menerapkan penggunaan sistem suapan dan alatkerja sistem mekanikal automatik sepertimana yang terdapat pada sistem mesingan. Ini terutamanya benar dalam perihal submesingan yang diguakan secara meluas oleh hampir kesemua pihak yang terlibat, kecuali mungkin pihak tentera Jepun. Tentera Jerman umpamanya menggunakan sistem MP-40, pihak Rusia pula melengkapkan kadang-kala keseluruhan batalion infantrinya dengan mesingan PPSh-41, manakala tentera Amerika dan British dengan submesingan Thompson.

Pasca Perang Dunia Kedua
Setelah tamat Perang Dunia Kedua, kajian yang telah dilaksanakan oleh beberapa buah negara mendapati beberapa perkara yang kemudiannya mengubah persepsi mengenai penggunaan raifal di medan perang moden. Paling utama ialah sebahagian besar dari anggota yang terlibat dalam perang tersebut menyatakan bahawa mereka jarang sekali menggunakan senjata peribadi atau raifal apabila musuh berada pada jarak melebihi 300 meter. Kesimpulan ini kemudiannya diperkukuhkan lagi dalam kajian-kajian yang dilakukan di Kanada serta Amerika Syarikat mengenai penggunaan raifal ketika Perang Dunia Kedua, Perang Korea dan Konflik Vietnam serta pihak British ketika Perang Korea, bahawa 75% dari pertempuran dengan musuh menggunakan raifal berlaku dalam jarak yang kurang dari 100 meter! Ini menimbulkan persoalan apakah perlu anggota membawa sejenis sistem raifal berkuasa tinggi sehingga mampu menjangkau sasaran sehingga 1,000 meter walhal jarak tempur lazim boleh dikatakan adalah kurang dari 300 meter? Selain dari itu, pertempuran di kawasan penempatan juga turut menjadikan sistem raifal biasa yang panjang tidak begitu sesuai. Ini kerana pergerakan di kawasan tersebut yang mempunyai ruang terhad dan sempit bakal menyukarkan pengendali untuk bergerak pantas selain dari kesukaran untuk menghayunkan laras ke arah sasaran akibat panjang yang keterlaluan, terutamanya apabila musuh berada terlalu hampir. Malah tugasan ini dilihat lebih sesuai untuk pistol dan submesingan yang lebih kompak dan ringan serta mempunyai kadar tembakan yang tinggi berbanding raifal.

    Sejak Perang Dunia Kedua, pelbagai jenis sistem senjata bantuan tembakan telah dicipta, ini termasuklah sistem mesingan kegunaan am atau GPMG (General Purpose Machine Gun), mesingan sederhana dan berat. Selain itu terdapat juga sistem mortar ringan dan sederhana. Kesemuanya mampu memberikan tembakan yang lebih efektif terhadap infantri musuh pada jarak melebihi 300 meter sehingga kepada 1,500 meter mahupun lebih dari itu. Ini bermakna kemampuan memusnahkan sasaran pada jarak jauh yang pada suatu masa dahulu menjadi kelebihan kepada raifal, tidak lagi menjadi satu faktor yang dianggap kritikal.

    Sejak tamatnya Perang Dunia Kedua, satu lagi trend yang dilihat menyebabkan sistem raifal kaliber besar tidak lagi praktikal ialah ciri-ciri anggota infantri peperangan moden itu sendiri. Jika pada suatu masa dahulu, infantri hanya dibebankan dengan raifal individu, bekalan peluru dan makanan keperluan beliau sahaja. Tugas beliau juga jelas serta mudah, iaitu mencari dan cuba memusnahkan anggota infantri musuh di kawasan medan tempur. Hari ini anggota infantri di’beban’kan dengan perlbagai peralatan dan kelengkapan disamping mempunyai misi operasi yang kadang-kala agak rumit. Akibat dari sifat peperangan moden yang mementingkan daya mobiliti tinggi serta ancaman yang mungkin datang dari pelbagai dimensi, anggota infantri kini dibekalkan dengan pelbagai jenis sistem persenjataan dan perlindungan diri. Tempo mobiliti tinggi operasi dan kuasa tembakan melampau yang diperlu untuk memusnahkan musuh bermakna beliau juga perlukan jumlah bekalan peluru yang mencukupi. Selain itu jika pasukan armor musuh diketahui beroperasi di kawasan sama atau musuh mungkin berada di kawasan penempatan dipenuhi bangunan atau berkubu dalam sistem perparitan dan bunker, tentunya pelancar roket grened seperti RPG-7 atau pelancar tembak buang LAW akan dibawa sama. Ini belum dikira bekalan tambahan peluru bagi mesingan MGKA atau peluru bom mortar ringan berkaliber 60mm, sekiranya sistem tersebut turut di pikul bersama ke kawasan operasi. Penambahan lain termasuklah sistem ves kalis peluru, bekalan makanan, peluru tambahan dan pelbagai kelengkapan lain.

Kemunculan Raifal Tempur
Istilah raifal tempur boleh dikesan penggunaannya sejak dari Perang Dunia kedua lagi apabila pihak tentera Jerman memperkenalkan sistem raifal yang diklasifikasikan sebagai Sturmgewehr 44 (44 mengambil sempena tahun ia dihasilkan iaitu 1944) yang bermaksud ‘Assault Rifle’ atau raifal tempur yang mempunyai kaliber 7.92 Kurz (bermaksud pendek, membayangkan saiz kelongsong yang lebih pendek dari peluru raifal biasa). Secara amnyanya istilah raifal tempur diberikan kepada sistem raifal yang berkeupayaan untuk melepaskan sama ada tembakan separa automatik mahupun automatik sepenuhnya dan mempunyai laras agak pendek (berbanding raifal biasa), manakala bekalan peluru pula adalah berkaliber sederhana, dibekalkan dari kelopak yang mempunyai keupayaan sebanyak 30 butir peluru dengan kadar tembakan berada pada kira-kira 500 butir seminit.

    Pihak Jerman bukanlah satu-satunya negara yang mula cuba mencari sistem raifal yang dianggap lebih baik bagi menghadapi musuh, terutamanya dalam memperkenalkan sistem peluru berkaliber lebih rendah serta mampu dikawal oleh pengendali senjata ketika membuat tembakan. Seawal 1916, pereka senjata terkemuka Rusia, V.G Fyedorov telahpun melakukan beberapa percubaan bagi menghasilkan sistem raifal ‘Avtomat’ dalam kaliber 6.5mm diguna pakai oleh pihak tentera Jepun yang mempunyai kuasa letuaan yang lebih rendah berbanding peluru raifal biasa. Namun penyelidikan ini tidak diteruskan, sebaliknya tentera Rusia menerima pakai sejenis sistem raifal automatik yang dikenali sebagai AVS36 pada tahun 1936 yang masih menggunakan sistem peluru kaliber besar iaitu 7.62 x 54R. Memandangkan sistem peluru berkuasa tinggi diguna pakai, raifal AVS36 kerap mengalami kerosakan akibat keretakan atau komponen pecah. Bagi mengatasi masalah ini, sistem raifal AVT40 pula diperkenalkan. Walaupun mekanisma dalam sistem ini menyerupai sistem komponen AVS36, namun pembuatannya adalah lebih teguh dan kukuh. Pihak Rusia telah cuba melaksanakan beberapa pembaharuan seperti memperkenalkan sistem AVS44 yang berkemampuan untuk melaksanakan penembakan automatik sepenuhnya, namun sistem tersebut tidak berfungsi dengan baik dan hanya sejumlah kecil sahaja dihasilkan. Apabila pihak Jerman menawan sejumlah raifal tersebut mereka turut menggunakannya dan memberikan klasifikasi baru iaitu Selbstladegewehr 258 (r) dan Selbstladegewehr 259 (r). Ia dikatakan telah dikaji oleh pereka senjata Jerman dan dari sinilah timbul idea untuk menghasilkan sistem raifal Gewehr 38 yang kemudiannya diikuti oleh sistem Sturmgewher  44.

    Raifal tempur adalah merupakan kompromi antara dua jenis sistem persenjataan yang diguna pakai secara meluas ketika Perang Dunia Kedua, iaitu raifal biasa yang juga dikenali sebagai raifal medan (battle rifle) yang mempunyai peluru kaliber besar dan submesingan yang merupakan senjata api yang mempunyai saiz kompek, lebih besar dari pistol tetapi lebih kecil berbandimng raifam medan. Keupayaan peluru yang digunakan oleh sistem submesingan adalah agak terhad kerana ia menggunakan peluru sama seperti yang terdapat pada pistol. Ini bermakna peluru yang digunakan oleh raifal tempur mempunyai kekuatan dan jarak efektif antara raifal medan dan pistol. Oleh yang demikian selaras raifal tempur mempunyai kuasa tembakan yang lebih kuat dan jauh dari sistem submesingan. Ini mengekalkan kemampuan anggota individu untuk melepaskan tembakan efektif sehingga jarak 300 meter tetapi tembakan yang dilepaskan masih mampu dikawal dengan baik oleh pengendalinya, walaupun tembakan automatik sepenuhnya dilaksanakan. Sesuatu yang agak mustahil dilakukan sekiranya tembakan dibuat menggunakan sistem raifal medan yang berkaliber besar. Kaliber peluru yang lebih kecil ini juga bermakna jumlah peluru yang boleh dibawa adalah lebih banyak berbanding sistem raifal medan. Kelebihan ini amat kritikal dalam peperangan moden yang dilihat mempunyai trend penggunaan kuasa tembakan melampau dalam jangkamasa singkat untuk mendapatkan inisiatif tempur bagi mencapai kemenangan. Selain itu kemampuan untuk melepaskan tembakan dalam kedua-dua mod, separa dan automatik sepenuhnya dengan hanya mengubah kedudukan satu tombol dan saiz raifal yang lebih kompak bermakna raifal tempur boleh dioperasikan baik di kawasan lapang terbuka, mahupun di dalam dan celah-celah bangunan.

    Selepas Jerman, pihak Rusia adalah negara kedua yang memperkenalkan sistem raifal tempur kepada anggota infantrinya dalam bentuk raifal SKS. Sistem raifal tempur ini memperlihatkan bagaimana tentera Rusia menukar sistem raifal medan mereka dari sistem raifal Mosin Nagant yang mempunyai panjang yang dianggap keterlaluan bagi misi peperangan infantri moden. Selain itu ia juga turut menggantikan sistem submesingan PPsH-41 yang dikeluarkan secara besar-besar ketika perang Dunia Kedua, khusus bagi pertempuran kawasan penempatan seperti yang berlaku di Stalingard dan Berlin. Keputusan Rusia ini mungkin kerana ia tidak mahu infantrinya menggunakan dua jenis sistem berbeza yang akan hanya membebankan sistem logistik serta latihan kerana akan terpaksa membekalkan dua jenis sistem persenjataan dan kaliber peluru berbeza serta dua jenis latihan kemahiran penggunaan terhadap dua sistem senjata berbeza pada anggota infantri yang sama. Sistem ini walaupun boleh dikategorikan sebagai sejenis raifal tempur memandangkan ciri-ciri seperti penggunaan sistem peluru kaliber 7.62 x 39mm yang berkuasa sederhana dan keupayaan kitaran separa automatik, rekabentuk fizikalnya masih mengekalkan ciri-ciri sistem raifal, contohnya bentuk dan sistem kelopak yang hanya mampu mengisi sepuluh butir peluru sahaja dan ia tidak boleh menembak secara automatik sepenuhnya. Pengisian dilakukan dengan menggunakan landasan peluru yang dipanggil ‘banana clip’ yang membolehkan 10 butir peluru diisikan dengan cepat ke dalam kelopak yang tidak boleh ditanggalkan dari raifal.  

SKS kemudiannya digantikan pada 1953 dengan sistem raifal Avtomat Kalashnikova 47 atau lebih sinonim dengan akronimnya, AK-47 yang boleh dianggap sebagai antara perintis kepada sistem raifal tempur moden hari ini.         Menggunakan kaliber sederhana 7.62 x 39mm, ia dianggap oleh ramai pemikir ketenteraan sebagai satu keputusan yang amat bijak. Sistem raifal tersebut mempunyai saiz yang kompak, mampu melepaskan tembakan separa automatik dan automatik sepenuhnya serta dilengkapkan dengan kelopak berisi 30 butir peluru. Kitaran mekanikalnya adalah menggunakan tekanan gas yang dipesongkan ke atas dari larasnya dan menolak piston berspring ke belakang untuk memulakan kitaran mekanikal. Sistem boltnya pula adalah dari jenis bolt berputar dan mampu menghamburkan 600 butir peluru seminit.  Selain dari sifat dan kemampuan yang memenuhi kehendak medan tempur moden, penggunaan sistem peluru berkaliber lebih rendah dan berkuasa sederhana juga bermakna penggunaan sistem raifal tempur kini tidak lagi terhad kepada anggota lelaki sahaja. Malah kini anggota wanita yang dilihat semakin ramai keanggotaannya dalam pasukan tentera juga mampu menggunakan senjata atau raifal tempur dengan lebih efisyen.

    Pada masa yang hampir sama pihak negara-negara Eropah Barat serta Amerika Syarikat dilihat masih tercari-cari apakah sistem peluru raifal yang bakal diguna pakai oleh pihak infantri mereka. Pada 1952 pihak Amerika Syarikat telah menerima peluru kaliber 7.62 x 51mm (0.30in) sebagai peluru bagi kegunaan pasukan infantri tentera daratnya. Keputusan ini telah membuatkan negara-negara Pakatan NATO yang ketika itu masih goyah ekonominya terpaksa mengikut telunjuk Amerika dengan bersetuju menjadikan peluru kaliber sama bagi kegunaan mereka. Ini kerana sebahagian besar dari bajet pertahanan negara-negara tersebut bakal dibiayai oleh Amerika Syarikat bagi beberapa tahun mendatang. Apa yang agak pelik ialah setelah memilih peluru 7.62mm, Amerika mendapati bahawa mereka tidak memiliki senjata yang berkemampuan tinggi dan praktikal untuk digunakan dalam peperangan moden selain dari raifal M1 Garand, peninggalan era-Perang Dunia Kedua.

Bagi mengatasi masalah ini pihak Amerika telah melaksanakan beberapa perubahan yang bersifat kosmetik, iaitu mengubah sedikit ciri-ciri mekanikalnya agar dapat menerima kelopak 20 butir peluru selain mekanisma kemampuan melaksanakan penembakan automatik sepenuhnya. Raifal prototaip pertama dikeluarkan pada 1957 dengan klasifikasi T44 dan ia kemudiannya dikenali sebagai M14.             Pada masa sama satu lagi raifal buatan Amerika turut diketengahkan dengan beberapa ciri yang unik serta merupakan sistem raifal yang menggunakan rekabentuk yang tersendiri. Raifal ini dikenali sebagai AR-10 dan walaupun dianggap oleh banyak pihak sebagai sejenis raifal yang berkemampuan tinggi dan mungkin lebih baik dari sistem M14, Namun banyak pihak percaya atas sebab-sebab tertentu seperti kos penyediaan dan pembuatan sistem baru yang bakal menelan belanja tinggi serta kepentingan politik dan peribadi, laporan mengenai kemampuan sebenar sistem tersebut telah tidak ditonjolkan dan kekurangan atau kelemahannya pula diperbesarkan. Akibatnya senjata AR-10 tidak terpilih, namun ia juga menandakan satu permulaan kepada raifal yang bakal menjadi raifal tempur utama Amerika Syarikat, variasinya terus diguna pakai oleh infantri negara tersebut hingga ke hari ini.

    Negara-negara Eropah yang menerima keputusan menggunakan peluru 7.62mm turut menggunakan sistem raifal tempur masing-masing. Umpamanya Sepanyol menggunakan sistem CETME, Itali sistem BM59 Mk1 (versi M1 Garand buatan Itali), SG150-4 (Switzerland) serta FN FAL dan L1A1 (Belgium dan Britain). Keadaan ini dikatakan tidak memberikan kelebihan kepada infantri tentera negara NATO serta Amerika Syarikat kerana secara teorinya dari sudut kemampuan pembawaan peluru serta konsep penggunaan raifal, mereka masih mengekalkan status kelengkapan anggota era Perang Dunia Kedua, melainkan raifal kini mampu melepaskan tembakan separa serta automatik sepenuhnya.

    Pada  penghujung tahun 50an dan awal 60an pihak tentera darat Amerika telah melaksanakan beberapa kajian bagi mempertingkatkan prestasi dan kuasa tembakan efektif anggota infantri yang menggunakan raifalnya. Salah satu cadangan ialah untuk menggunakan sistem kaliber peluru yang akan turut dapat mengurangkan kuasa tendangan ke belakang atau ‘rekoil’ raifal. Ini secara langsung akan dapat memberikan kemampuan untuk membuat tembakan yang lebih tepat. Selain dari itu ia juga bermakna bahawa sekiranya tembakan automatik sepenuhnya dibuat, ia bakal  mengenai sasarannya kerana pengendali masih mampu mengawal lonjakan laras yang tidak keterlaluan. Selain itu sifat-sifat lain yang turut diambil kira ialah berat raifal yang tidak berlebihan serta kemampuan anggota untuk membawa lebih banyak peluru ke medan tempur. Pada masa ini sistem AR-10 telahpun direkabentuk semula untuk menggunakan sistem peluru kaliber lebih kecil iaitu 5.56 x 45mm. Kali ini sistem tersebut dikenali sebagai AR-15. Perolehan sistem raifal tempur baru ini kemudiaya dilakukan oleh pihak tentera darat Amerika dan pada 1966 klasifikasinya ditukarkan kepada M16A1.

    Sebaik sahaja pihak Amerika Syarikat memilih untuk menggunakan sistem M16A1, manakala Rusia mengekalkan sistem AK-47, trend raifal tempur untuk masa hadapan telah seakan ditentukan. Walaupun pengenalan sistem peluru berkaliber lebih rendah telah dapat menyelasikan masalah penggunaan raifal yang mempunyai saiz terlalu panjang dan berat serta kemampuan membawa lebih banyak peluru ketika beroperasi, ia masih tidak menjawab persoalan sejauh manakah peluru  yang diguna pakai adalah efektif untuk mencedera atau membunuh anggota infantri musuh . Persoalan tersebut sehingga kini masih diperdebatkan dan untuk memahami kenapakah perkara ini menjadi satu isu, umum harus terlebih dahulu memahami konsep, sifat dan elemen yang menjadikan anak peluru itu sebagai satu projektil yang amat merbahaya sekiranya terkena pada anggota mahupun mengakibatkan kerosakan jika ianya menghentam objek atau struktur lain.

Anak peluru dan faktor kemusnahan
Tahap kemusnahan yang dilakukan oleh sebutir anak peluru terhadap sasarannya bergantung kepada beberapa faktor khusus. Ini termasuklah jisim, bentuk, komposisi dan kederasan anak peluru apabila ia menghentam sasaran. Selain faktor fizikal anak peluru, lokasi impak, halatuju peluru sebaik ia memasuki tubuh individu dan sifat pergerakan anak peluru itu di dalam tubuh manusia selain dari jumlah tenaga yang dipindahkan dari anak peluru kepada sasaran sebaik impak berlaku. Secara amnya anak peluru berkaliber besar dengan kelajuan tinggi yang berubah bentuk fizikal menjadi lebih besar atau berpusing secara menegak (tumble) akan mengakibatkan kecederaan yang lebih teruk kepada mangsa tembakan. Rekabentuk anak peluru turut memainkan peranan penting dalam hal ini dan keadaan ini telah menyebabkan satu deklarasi yang dikenali sebagai ‘The Hague Declaration’ ke 29 pada 1899 telah mengharamkan penggunaan sistem anak peluru  yang mengembang pada bahagian muncungnya atau menjadi leper dengan mudah sebaik mengenai tubuh manusia dalam semua konflik ketenteraan antarabangsa.

    Sistem raifal ketenteraan mempunyai kederasan anak peluru yang tinggi, iaitu antara 800 hingga 900 meter sesaat. Peluru yang mempunyai sistem berjaket (keseluruhan anak peluru disalut jaket logam lebih keras) adalah lebih tepat dan mempunyai kuasa robekan yang lebih kuat berbanding sistem peluru timah hitam (lead) yang tidak berjaket. Ini kerana sistem anak peluru timah hitam mungkin pecah atau berserpih ketika masih berada di dalam laras ketika penembakan akibat haba dan faktor lain yang bakal menyebabkan londarannya tidak lagi stabil. Apabila anggota tentera mula mengenakan sistem baju kalis peluru, satu trend yang dilihat mula diguna pakai ketika Perang Dunia Pertama, penggunaan sistem peluru yang tidak berjaket mula berkurangan dengan drastiknya di kalangan pasukan infantri global.

    Bagi pihak Rusia mereka menggunakan sistem peluru berkaliber 7.62 x 39mm (nombor pertama ialah diameter anak peluru, manakala nombor kedua panjang kelongsong dalam ukuran metrik). Ia merupakan sistem anak peluru bersalut tembaga dengan keluli pada bahagian tengahnya. Di antara keluli dan kulit tembaga ini terdapat timah hitam. Bahagian pangkal anak peluru menirus dengan cepat dan ini menyebabkan hanya sedikit sahaja bahagian anak peluru yang terkena dinding bahagian dalam laras. Keadaan ini menyebabkan proses kemasukan dan penarikan peluru serta kelongsong dapat dibuat dengan mudah dan menjadikan raifal tempur AK-47 mempunyai kemampuan beroperasi yang tinggi. Keadaan fizikal anak peluru yang padat menjadikan ia memiliki kekuatan robekan yang tinggi, namun faktor tersebut juga meyebabkan ia tidak mempunyai faktor kerosakan terhadap tisu badan manusia yang akan menyebabkan kecederaan teruk. Menurut kajian yang telah dilaksanakan, peluru 7.62 x 39mm akan hanya mula berputar secara menegak (menyebabkan kerosakan tisu paling teruk) setelah ia bergerak kira-kira 30sm dalam tisu manusia sekiranya ia tidak mengenai sebarang tulang. Ia juga tidak pecah atau berserpih setelah memasuki tisu yang menjadikan luka akibat dari tembakan peluru tersebut tidak meninggalkan kecederaan rumit kepada sasarannya.

    Pihak Amerika Syarikat dan NATO pula menggunakan peluru kaiber 5.56 x 45mm yang diklasifikasikan sebagai peluru SS109 pada awal tahun 1970an.  Peluru ini berbeza dengan sistem peluru kaliber sama yang telahpun digunakan oleh pihak Amerika sebelum itu, iaitu jenis M193. Sistem SS109 dipilih kerana ia memiliki anak peluru lebih berat dengan damak keluli di dalamnya berbanding peluru M193 yang lebih ringan. Mengikut ujian yang ditetapkan oleh NATO peluru 5.56 x 45mm yang diuji mestilah mampu menembusi topi besi keselamatan yang dipakai anggota dari jarak 600 meter. Prestasi kerosakan tisu manusia bagi peluru ini dianggap memuaskan kerana tidak seperti peluru 7.62 x 39mm, peluru 5.56 x 45mm akan mula berputar secara menegak dengan pantas sebaik memasuki tisu badan dan ia kemudiannya akan pecah mengakibatkan serpihan. Faktor ini menyebabkan kerosakan tisu yang lebih teruk serta tersebar dan menyebabkan anggota yang menjadi sasaran tidak lagi mampu berfungsi. Selain dari prestasi kerosakan tisu yang baik, memandangkan saiz dan bentuk anak peluru ini tirus dan halus, ia mempunyai sifat londaran yang lurus. Ini memberikan kemampuan tenangan dan penembakan yang lebih baik pada jarak lebih jauh.  

    Pada tahun 1974, pihak Rusia telah memperkenalkan sejenis raifal tempur variasi dari AK-47 yang dikenali sebagai AK-74. Secara kosmetik, raifal ini mempunyai ciri-ciri yang sama dengan AK-47, kecuali bahagian udi yang boleh dilipatkan ke bahagian sisi, serta bahagian pengedap percikan api yang bersaiz besar di bahagian muncung laras senjata. Peluru yang digunakan bagi sistem raifal baru ini turut berubah dengan kaliber lebih kecil dan tirus, tetapi mengekalkan panjang kelongsong dengan sistem peluru AK-47. Peluru baru kaliber 5.45 x 39mm ini diklasifikasikan sebagai 5N7 ini mempunyai reka bentuk anak peluru yang lebih panjang dari sistem 5.56mm. Bahagian muncung peluru ini yang disalut jaket mempunyai ruang kosong dan dibelakangnya terdapat timah hitam yang mengasingkan ruang tersebut dengan teras damak keluli yang berada di bahagian pangkal anak peluru.

    Pada awalnya ramai pemerhati menyangka bahawa ruang kosong yang terdapat pada muncung anak peluru direka khusus agar ia membengkok sebaik mengenai sasaran, termasuklah bahagian organ dan tisu manusia. Namun setelah kajian dilakukan, ini jelas tidak benar dan ramai menganggap ruang kosong tersebut wujud kerana ketika itu teknologi untuk mengisi ruang kosong yang halus itu masih dianggap terlalu rumit. Walaupun banyak kekurangan dari sudut prestasi memusnahkan sasaran, peluru 5N7 memberikan pengendali sistem raifalnya keupayaan untuk melaksanakan penembakan terus dan kawalan lonjakan laras yang baik. Ini kerana trajektori anak peluru menjadi lebih lurus, manakala dengan sistem muncung laras yang khusus dilengkapi alat pengedap percikan api dan lonjakan laras ketika penembakan dibuat.

Kaliber yang benar-benar efektif?
Persoalan mengenai apakah kaliber yang paling efektif bagi raifal tempur bakal terus menjadi satu isu yang akan diperdebatkan. Tiga kaliber utama raifal tempur yang digunakan hari ini, iaitu 5.56, 5.45mm dan 7.62mm masing-masing mempunyai faktor kekuatan dan kelemahan tersendiri. Di kalangan tentera Amerika Syarikat sendiri terdapat beberapa pihak yang kurang berpuas hati dengan kemampuan sistem peluru 5.56mm kerana mengikut kajian yang telah dilaksanakan, keberkesanan sistem tersebut bergantung kepada panjang laras yang diguna pakai.

    Hari ini beberapa individu yang terlibat dengan pusat operasi pasukan khas Amerika Syarikat atau SOCOM (Special Operations Command) telah cuba menghasilkan satu jenis atau kaliber peluru yang dianggap mampu menangani kesemua kelemahan yang dikatakan terdapat pada sistem peluru 5.56mm. Program ini dilaksanakan dengan firma pembuat peluru swasta dan menggabungkan ciri-ciri positif yang terdapat pada peluru raifal tempur serta peluru raifal moden. Penjana kepada kemahuan mencari kaliber yang lebih optima ini sebenarnya bermula dari individu-individu yang mahukan sejenis kaliber peluru yang mampu memberikan tembakan tepat pada jarak sederhana dan jauh untuk diguna pakai dalam pertandingan tembak tepat. Hasil yang memberangsangkan dari beberapa jenis sistem peluru kaliber baru ini mendapat perhatian pihak tentera. Salah satu yang dilihat mempunyai potensi besar ialah sistem peluru 6.5mm.  Dengan kata lain peluru baru ini menggabungkan unsur-unsur terbaik dari kedua-dua jenis peluru 5.56mm dan 7.62mm.

    Sifat atau kemampuan anak peluru dengan londaran mendatar dikekalkan (seperti terdapat pada anak peluru 5.56), manakala kederasan peluru untuk jarak menjangkau sehingga melebihi 600 meter cuba dicapai. Apa yang terhasil adalah sejenis peluru berkaliber 6.5 x 38mm. Dalam beberapa ujian yang dilaksanakan, apabila di tem,bak dari sistem raifal yang mempunyai laras 20 inci, sistem peluru 6.5mm ini dikatakan mempunyai londaran yang lebih lurus berbanding sistem peluru 7.62mm yang digunakan bagi tujuan penggunaan penembak tepat. Jika dibandingkan dengan londaran 5.56mm, ianya adalah jauh lebih baik. Menurut mereka yang menyokong pengenalan peluru ini dalam perkhidmatan tentera Amerika Syarikat, dengan menggunakan sistem raifal M16A4 yang ditukarkan kalibernya kepada 6.5mm, raifal tersebut mampu melaksanakan tugas dua jenis raifal berbeza yang juga dikhaskan bagi dua jenis operasi. Selain itu jika peluru 6.5mm digunakan dalam raifal M4, prestasi ketepatan tembakan dan kemampuan perobekannya terhadap sasaran adalah jauh lebih baik dari 5.56mm dan hampir menyamai kemampuan sistem raifal penembak tepat kaliber 7.62mm. Kemampuan mengakibatkan kerosakan pada tisu manusia yang dihasilkan oleh anak peluru kaliber baru ini juga dikatakan adalah jauh lebih baik dari kemampuan peluru 5.56mm yang ditembak dari panjang laras M4 yang sama.

    Walaupun prestasi peluru berkaliber 6.5 x 38mm atau dikenali juga dengan nama komersialnya sebagai Grendel, terbukti lebih berkesan dari kaliber peluru 5.56 x 45mm, namun penukaran kaliber bukanlah sesuatu yang mudah dan murah. Apa lagi sekiranya ia melibatkan penukaran sejumlah raifal yang kini digunakan dalam perkhidmatan angkatan tentera sesebuah negara.

    Pencarian peluru bagi raifal tempur yang mempunyai prestasi optima bukanlah satu usaha yang dimiliki secara mutlak oleh pihak tentera Amerika. Bagi angkatan tentera darat China, mereka telahpun memperkenalkan sistem kaliber peluru yang dilihat mirip kepada sistem Grendel. Lebih mengejutkan pihak Barat ialah sistem ini bukanlah sejenis prototaip, tetapi peluru kaliber 5.8 x 42mm ini digunakan dalam sejenis sistem raifal baru yang diguna pakai oleh tentera China. Raifal QBZ-95 mula dipertontonkan kepada pihak media dan dunia luar pada 1997 apabila pasukan tentera China mengadakan upacara pengambilan semula Hong Kong dari kerajaan British. Sistem ini menggantikan sistem raifal Type 81 dan mempunyai konfigurasi sistem ‘bull-pup’ (kelopak berada di bahagian udi belakang), seperti yang terdapat pada sistem SA80 (Britain), FAMAS (Perancis) dan Steyr AUG (Austria).

    Walaupun pada awalnya terdapat halangan, pada ujian pemilihan akhir, terdapat dua kaliber yang dipertimbangkan iaitu 5.8mm dan 6mm selain dari kajian yang membandingkan prestasi kaliber tersebut dengan sistem peluru 5.56mm dan 5.45mm yang digunakan oleh pihak Amerika dan Rusia. Pihak tentera China juga menyatakan bahawa dalam ujian yang dilaksanakan mereka, peluru 5.8 x 42mm ini juga mempunyai kemampuan yang boleh diguna pakai pada sistem mesingan memandangkan ia berkemampuan menghasilkan kemusnahan walaupun pada jarak kira-kira 1000 meter.

    Jika diteliti mengenai apa yang diperkatakan oleh pihak tentera China mengenai sistem kaliber baru, ia hampir menyamai kesimpulan yang diperolehi oleh mereka yang menyokong penggunaan sistem peluru Grendel di Amerika Syarikat. Hari ini tentera China telahpun menggunakan sistem kaliber peluru ini pada tiga jenis sistem persenjataan, iaitu sistem berlaras pendek, raifal tempur dan mesingan ringan. Adalah sukar untuk mengukur sejauh mana kebenaran kenyataan yang dibuat oleh pihak China, namun semestinya ia tentu berasaskan kepada kajian yang telah dilakukan mereka dan bagi pihak Barat, ianya akan hanya dapat diketahui sekiranya raifal dan peluru baru ini diguna pakai dalam konflik tertentu di peringkat antarabangsa.

Submesingan
Sejak dari Perang Dunia Kedua apabila peperangan mula menjangkau ke kawasan pekan dan bandar, penggunaan sistem raifal medan dilihat kurang sesuai. Ini kerana saiznya yang terlalu panjang, kekuatan peluru yang keterlaluan serta kadar tembakan yang terlalu perlahan. Pada ketika inilah sistem submesingan dilihat begitu kritikal penggunaannya. Saiz yang kompak, peluru berkaliber pistol yang tidak akan menembusi dinding batu-bata serta kemampuan untuk melepaskan tembakan secara automatik dengan kawalan laras senjata yang baik menjadi kekuatan kepada submesingan. Ketika Perang Dunia Kedua, selain dari beberapa jenis submesingan seperti Thompson dan MP40, kebanyakan negara menghasilkan sistem submesingan kerana ianya mudah, murah dan pantas untuk dihasilkan. Keperluan kelengkapan dan peralatan industri bagi mengeluarkan submesingan juga adalah tidak rumit atau memerlukan modal besar. Ini adalah sesuatu yang penting bagi sesebuah negara seperti Britain dan Rusia yang berhadapan dengan pelbagai masalah dari bekalan bahan mentah dan kemusnahan sektor indutri berat akibat pegeboman udara oleh pihak musuh mereka ketika itu. Sistem seperti senjata Sten dan PPSh dihasilkan dalam jumlah yang begitu banyak dan lazimnya faktor tersebut menyumbang kepada tahap pembuatan yang agak kurang bermutu dan ini kadangkala mempunyai kesan langsung terhadap kemampuan sistem tersebut di medan tempur. Kebanyakan sistem submesingan menggunakan konsep bolt terbuka (open bolt) iaitu kedudukan alat kerja atau bolt berada di belakang badan senjata sebelum penembakan dibuat. Sebaik picu di tarik oleh pengendali, spring penolak akan menolak bolt ke depan. Dalam perjalanan ke hadapan ini, bolt akan menolak sebutir peluru dari kelopak ke dalam pangkal laras dan proses letupan berlaku sebaik peluru berada dalam kedudukannya yang optima. Akibat dari tekanan letupan belerang yang menolak anak peluru ke depan muncung laras, tekanan sama turut melonjak ke belakang, namun berat alatkerja akan menghalang dari perkara tersebut berlaku dengan serta merta. Sebaik tekanan dalam laras telah berkurangan selepas anak peluru keluar dari sistem, inersia tolakan ke belakang akan mula menggerakkan bolt kepada kedudukannya di belakang badan. Sekiranya picu terus ditarik, kitaran mekanikal ini akan berulang lagi, sehinggalah kelopak telah kehabisan peluru.

    Selepas tamatnya Perang Dunia Kedua, perkembangan teknologi submesingan terus berkembang dan populariti sistem senjata kecil ini turut meningkat apabila ia diguna pakai oleh krew kenderaan seperti kereta perisai yang memerlukan sistem kompak bagi pertahanan diri. Antara sistem submesingan yang dianggap paling terkemuka dan diguna pakai oleh kebanyakan negara untuk pasukan polis hinggalah unit elit tentera adalah sistem HK MP5. keunikan sistem ini ialah kemampuannya untuk melaksanakan penembakan tepat dan ciri kitaran mekanikal yang terbukti berkesan dan boleh diharap untuk berfungsi sebilang masa. Ciri operasi secara bolt tertutup, sepertimana yang digunakan pada sistem raifal tempur (closed bolt) ketika penembakan memberikan submesingan tersebut ketepatan tembakan yang amat baik. Selain dari MP5, beberapa firma lain terus membangunkan sistem submesingan yang diwarisi dari era Perang Dunia Kedua. Antaranya adalah sistem Sterling SMG (Britain), Beretta Model 12 (Itali), F-1 (Australia) dan Uzi (Israel). Selain itu terdapat juga sistem submesingan lain yang lebih kompak namun masih mengekalkan berkeupayaan tinggi. Antaranya adalah submesingan Micro Uzi, Skorpion dan Ingram MAC10 serta MAC11.  Pada tahun 1980an, sistem persenjataan ini diaplikasikan penggunaannya secara meluas dalam operasi-operasi khas di kawasan penempatan atau di dalam bangunan. Sistem submesingan mikro pula popular di kalangan pasukan khas, pengawal peribadi serta krew kenderaan armor.

    Pengunaan sistem submesingan dan mikro submesingan adalah popular, apa yang dilihat kekal tidak berubah ialah penggunaan sistem peluru kaliber sama sepertimana peluru pistol dalam kesemua sistem submesingan yang telah lama wujud, mahupun yang baru dikeluarkan. Rata-ratanya sistem mesingan menggunakan kaliber 9 x 19mm bagi negara-negara Eropah Barat, NATO dan sekutu mereka, manakala pihak Rusia dan Pakatan Warsaw serta China menggunakan kaliber 7.62 x 25mm, 9x18 Makarov dan 6.35mm. Kelebihan penggunaan sistem submesingan menggunakan peluru kaliber pistol yang mampu dikawal dengan mudah dan mempunyai kadar tembakan tinggi turut menjadi ‘kelemahan’ sistem tersebut. Ini kerana sebagai peluru yang digunakan dalam sistem pistol, kuasa robekannya melebihi dari jarak 50 meter boleh dipertikaikan.  Penyebaran penggunaan ves atau anak baju kalis peluru bukan sahaja di kalangan anggota tentera negara-negara moden tetapi juga Dunia Ketiga dan militia serta kumpulan gerila turut menjadikan sistem kaliber seperti 9 x 19mm dan 6.35mm dianggap kurang berkesan.

PDW
Salah satu trend yang dilihat semakin meningkat di kalangan negara-negara  maju ialah dengan membina apa yang dipanggil sebagai PDW (Personal Defence Weapon) atau sistem senjata pertahanan peribadi. Secara ringkasnya sistem ini adalah merupakan sistem yang cuba mengatasi ‘kelemahan’ yang terdapat pada sistem submesingan dengan memperkenalkan satu lagi versi senjata ringan dan kaliber peluru baru yang dianggap mempunyai potensi memusnah yang lebih tinggi. Peluru sistem PDW lazimnya menyerupai sistem peluru raifal, tetapi mempunyai saiz lebih kecil dan jarak jangkauan tembakan yang lebih rendah dari sistem peluru raifal tempur biasa. Walaupun demikian kuasa perobekannya adalah jauh lebih jitu dari sistem peluru pistol dan mungkin menyamai impak hentaman  sistem anak peluru raifal.

    Jika dilihat kepada faktor sejarah, PDW bukanlah satu idea yang baru, malah ia telah wujud sejak ketika Perang Dunia Kedua lagi. Sistem ini mula diperkenalkan oleh pihak tentera Amerika Syarikat yang telah menghasilkan sistem Karbin M1 dalam kaliber .30. Berbeza dengan sistem peluru raifal medan .30-06, peluru karbin M1 lebih menyerupai peluru pistol dengan kelongsong yang telah dipanjangkan lagi. Pada awalnya ia dicipta bagi penggunaan anggota kumpulan sokongan tempur seperi anggota jurutera, tukang masak atau kor perubatan. Pada awalnya anggota kumpulan sokongan ini dibekalkan dengan sistem raifal M1 Garand. Namun begitu saiz raifal yang panjang dan berat berlebihan dilihat menjadi satu beban kepada anggota, terutamanya ketika mereka menjalankan tugas seperti memandu, memasak, membaiki kabel putus dan sebagainya. Percuban untuk menggantikan raifal dengan sistem pistol pula dianggap tidak memadai kerana jarak efektif pistol adalah terlalu hampir, iaitu kira-kira 50 meter sahaja. Submesingan Thompson pula dianggap turut mempunyai berat berlebihan dan ia masih menggunakan peluru pistol yang apabila dilancarkan dari laras submesingan yang lebih panjang mampu meningkatkan jarak efektifnya kepada hingga 80 meter.  

    Tahap perobekannya juga adalah tidak seberapa. Akhirnya keputusan dibuat untuk mencari sejenis sistem senjata pertahanan diri yang mempunyai jarak tembak efektif sehingga 250 meter, mempunyai berat yang tidak berlebihan serta mudah dikendalikan berbanding sistem raifal M1 Garand, tetapi mempunyai kuasa tembakan lebih baik dari pistol M1911 serta submesingan Thompson. Apa yang unik ialah setelah diperkenalkan untuk anggota garis hadapan yang hanya akan menggunakan sistem tersebut sebagai senjata untuk mempertahankan diri, saiz yang kompak, ringan dan mesra pengguna telah menjadikan ia senjata yang turut diguna pakai oleh anggota garis hadapan dan juga anggota pasukan payung terjun.   

    Trend  penggunaan PDW dilihat seakan berkubur selepas Perang Korea kerana tidak ada lagi sistem PDW atau yang sejenis dengannya dihasilkan selepas konflik tersebut. Selepas Perang Dunia Kedua, penggunaan sistem M1 Karbin dilihat lebih kepada pasukan militia, polis serta pertahanan awam. Perubahan dalam doktrin konflik dan peperangan moden walau bagaimanapun telah memberikan nafas baru kepada sistem persenjataan PDW. Ini termasuklah keperluan sistem senjata yang kompak, tetapi berkeupayaan tinggi yang dihususkan bagi penugasan dan anggota khas.  Antara sistem PDW yang dianggap terkini dan berkeupayaan tinggi adalah sistem P90 (FN Belgium) dan HK MP7 (HK Jerman). Terdapat juga umpamanya sistem HEZI SM-1 yang merupakan sistem PDW baru tetapi menggunakan sistem peluru kaliber .30 Karbin era Perang Dunia Kedua. Bagi sistem P90 dan MP7, kedua-duanya menggunakan sistem peluru yang unik untuk jenis senjata tersebut sahaja (sehingga kini) dan dikatakan mempunyai kuasa perobekan armor yang amat baik berbanding peluru pistol mahupun submesingan. P90 menggunakan peluru 5.7 x 28mm dan memandangkan ia menggunakan sistem kitaran alat kerja bolt tertutup, tembakan yang dilepaskan adalah lebih tepat berbanding sistem submesingan tradisional. Selain itu ia juga mempunyai sistem kelopak yang unik, berbentuk segi empat tepat yang dipasangkan pada bahagian belakang atas badan senjata. Setiap kelopak mampu diisikan dengan 50 butir peluru, satu jumlah yang agak banyak berbanding sistem submesingan biasa yang rata-ratanya mempunyai kelopak 20 hingga 30 butir peluru. Dengan kadar tembakan mampu mencecah 900 butir seminit dan jarak efektif menjangkau hingga 150 meter, sistem yang dikategorikan sebagai sejenis PDW ini sememangnya dianggap mempunyai potensi besar.

    HK MP7 adalah satu lagi versi sistem PDW yang menggunakan sistem kaliber pelurunya tersendiri iaitu dalam kaliber 4.6 x 30mm. Ia boleh dianggap sebagai sejensi sistem raifal tempur yang diperkecilkan skala atau saiznya. Pelurunya juga dikatakan mempunyai sifat perobekan armor yang hampir sama dengan peluru raifal tempur 5.56mm, walaupun mempunyai saiz lebih kecil. Ini mampu dicapai kerana rekabentuk anak peluru MP7 yang mempunyai damak keluli diperkeras berbanding peluru submesingan lain yang diperbuat dari tembaga atau timah hitam berjaket. Sistem kelopak MP7 menyerupai sistem kelopak raifal tempur dan didatangkan dalam dua versi, iaitu yang memuatkan 20 serta 40 butir peluru.

    Sepertimana sejak dari awal penciptaannya, sistem PDW telahpun menggunakan kaliber pelurunya tersendiri yang berbeza dari sistem raifal tempur mahupun raifal medan. Akibat dari penggunaan sistem kaliber peluru yang khusus, penggunaan sistem PDW adalah agak terhad, melainkan jika ia digunakan dengan secara meluas seperti mana ketika Perang Dunia Kedua (Dianggarkan 600,000 pucuk karbin M1 telah dihasilkan sepanjang tempoh tersebut). Ini adalah mungkin antara sebab kenapa walaupun kedua sistem terkini seperti P90 dan HK MP7 mempunyai prestasi tinggi, banyak negara masih lagi tidak menggunakan sistem tersebut. Walaupun kemampuan sistem PDW dianggap amat bersesuaian dengan senario pertempuran dalam kawasan penempatan/bangunan, ramai berpendapat sistem raifal tempur yang mempunyai keupayaan tinggi namun saiz yang agak besar masih mampu melaksanakan tugas sepertimana PDW sekiranya beberapa modifikasi dilakukan terhadapnya. Apa yang menjadikan idea ini menarik ialah faktor penggunaan peluru berkaliber baru (bermakna sistem senjata yang juga baru!) tidak timbul sekiranya raifal tempur diguna pakai.

Raifal tempur mengambil aleh peranan submesingan dan PDW?
Persoalan mengenai kepentingan penggunaan PDW bukanlah sesuatu yang baru malah boleh diandaikan bahawa dengan doktrin peperangan moden yang semakin kabur akibat ciri-ciri dan konsep peperangan yang semakin rumit hari ini, ia semakin mendesak. Keunikan doktrin peperangan moden hari ini boleh gambarkan sebagai satu proses konflik yang tidak mempunyai sempadan dari segi tujuan, doktrin, taktik mahupun teknik peperangan itu sendiri. Umpamanya pada suatu masa dahulu, perang gerila boleh diklasifikasikan sebagai konflik dalaman sesebuah negara yang menyaksikan pasukan tentera sesuatu rejim cuba menghapuskan sekumpulan pemberontak melalui operasi-operasi terhad. Kumpulan gerila pula secara tradisionalnya menjadikan kawasan pendalaman atau hutan tebal sebagai tempat berlindung dan membina kekuatan.

    Hari ini sebuah angkatan tentera mungkin pada sebelah paginya melaksanakan operasi perang gerila, namun di tengah hari memberikan bantuan makanan dan perubatan di kawasan konfli dan pada malamnya menguatkuasakan mandat pengaman yang telah diberikan kepada mereka oleh pihak PBB. Keupayaan mobiliti yang semakin efisyen juga menyaksikan senario medan tempur anggota bakal berubah dari satu senario ke senario lain dalam masa yang singkat. Umpamanya di sebelah pagi mereka melakukan rondaan di kawasan pergunungan menggunakan kenderaan pacuan empat roda, namun di sebelah malam, kumpulan sama akan diatur gerakkan di antara dua bangunan di kawasan bandar menggunakan pesawat helikopter bagi memusnahkan musuh yang berada disalah sebuah bangunan tersebut. Keadaan ini mungkin menghendaki seorang anggota untuk dilengkapkan dengan sejenis sistem raifal tempur yang mampu melaksanakan tugas pelbagai seperti yang telah disebutkan.

    Pada tahun 2007, pihak tentera Amerika Syarikat telah menyatakan hasrat untuk mencari sejenis sistem PDW baru yang akan dibekalkan kepada krew kenderaannya. Sistem tersebut haruslah mempunyai sifat fizikal yang lebih besar dari pistol namun lebih kecil dari sepucuk karbin. Sehingga kini ketua program tersebut, Brigadier Jeneral Mark Brown masih belum mengumumkan sebarang keputusan mengenai apakah jenis atau versi PDW yang akan diguna pakai. Keadaan ini tidak begitu menyenangkan beberapa pihak yang menyatakan bahawa adalah lebih praktikal dan menjimatkan kos sekiranya beberapa perubahan atau modifikasi dilakukan terhadap sistem raifal tempur yang diguna pakai oleh anggota infantri hari ini. Memandangkan masih tidak ada keputusan oleh pihak berwajib untuk menggunakan versi sistem PDW  yang mana satu, beberapa unit dan agensi terkemuka telah bertindak untuk memprolehi sistem karbin M4 dan variasinya yang telah diubah suai untuk dijadikan sistem PDW bagi kegunaan mereka. Perkara ini dianggap agak unik, namun jika dilihat kepada agensi-agensi dan pasukan yang menggunakan sistem ia satu pengiktiragfan bahawa sistem raifal tempur sebenarnya berkemampuan untuk dijadikan sejenis PDW setelah beberapa modifikasi khusus dilakukan. Dengan penggunaan sistem ini, ia bakal dapat menjimatkan kos perolehan dan pembuatan kerana sebahagian besar sistem sedia ada masih diguna pakai dan kos yang perlu dikeluarkan juga adalah terhad untuk modifikasi disamping laras dan pengadang tangan yang baru.

    Terdapat beberapa siri PDW berasaskan sistem karbin M4 yang kini digunakan secara meluas di kalangan pihak tentera Amerika Syarikat. Antaranya adalah sistem M16 VIPERS dan sistem FERFRANS. Sistem VIPERS dihasilkan oleh frima M16 Clinic yang sebenarnya melaksanakan perubahan pada bahagian atas sistem senjata tersebut yang merangkumi bahagian laras, pejera, alatkerja dan bolt, yang merupakan kesemua komponen kritikal  untuk pengoperasian satu sistem raifal tempur.  Salah satu sifat yang dikagumi oleh pengendali raifal ini ialah bagaiamana bahagian atas VIPER ini boleh dipadankan pada mana-mana bahagian bawah M16 untuk menjadikan sebarang sistem M4 atau M16 kepada sejenis sistem PDW yang berkeupayaan tinggi. Walaupun sistem ini menggunakan laras pendek, namun oleh kerana penggunaan sistem peluru 5.56 x 45mm berkuasa penuh, kuasa perobekan dari sistem VIPERS sememangnya dianggap memadai untuk melaksanakan tugasan tempur pada jarak dekat atau di dalam bangunan. Bagi memudahkan lagi proses tenangan, bahagian penagadang tangan sistem dipasangkan dengan sistem landasan Picatinny bagi membolehkan pemasangan pelbagai jenis sistem elektro optik, penunjuk laser serta lampu suluh taktikal. Kemampuan sistem ini dianggap begitu meyakinkan sehinggakan pasukan khas tentera Amerika Syarikat seperti Delta Force, pasukan Rangers dan unit kawalan keselamatan presiden menggunakan sistem VIPERS.

    Sistem FERFRANS pula menggunakan satu sistem modifikasi yang dikatakan diambil dari sistem raifal tempur T65 yang merupakan sistem raifal tempur negara Taiwan yag telah dipertingkatkan kemampuannya untuk menjadi lebih efisyen. Perubahan dan modifikasi pada bahagian atas unit M16 atau M4 ini membuatkan sistem senjata ini berkemampuan untuk beroperasi melaksanakan kitaran mekanikalnya sama ada secara tradisional menggunakan tekanan gas sepenuhnya atau menggunakan sistem rod dan piston. Lebih menarik ialah pengendali boleh memilih sama ada untuk mengggunakan mana-mana dari dua sistem tersebut tanpa memerlukan apa-apa peralatan khusus bagi menukar cara mod operasinya dari gas ke piston atau sebaliknya.  

    Bagi kedua-dua sistem, apa yang mungkin perlu diberikan perhatian ialah jumlah percikan api yang begitu ketara terserlah dimuncung laras. Ini sebenarnya bukanlah sesuatu yang hanya terhad kepada kedua sistem tersebut, malah hakikatnya apa-apa jua sistem raifal tempur yang dipendekkan laras, pembakaran belerang secara penuh tidak akan dapat berlaku di dalam laras. Pembakaran ini akan terus berlaku di luar dari laras dan semburan yang keluar secara tiba-tiba ini akan tersebar di udara mengakibatkan wujudnya percikan api yang agak keterlaluan. Keadaan ini boleh mengundang kepada tahap operasi yang kurang memuaskan bagi pengendali terutama ketika beliau berada di kawasan persekitaran yang kelam atau gelap. Pencahayaan terang melampau yang berlaku secara tiba-tiba dan tidak menentu akibat dari percikan api  berlebihan di muncing laras boleh mengakibatkan deria pandangan malam pengendali kerap terganggu atau terkeliru.             Percikan api dari sistem sedemikan lazimnya adalah lebih ketara  pada raifal berlaras pendek berbanding sistem raifal tempur berlaras panjang yang mana pembakaran berlaku sepenuhnya di dalam laras. Keadaan atau masalah sama turut berlaku pada sistem raifal tempur pendek yang lain, contohnya AKSU-74 milik Rusia. Masalah ini telahpun diatasi oleh pereka sistem AKSU dengan memasang sistem pengedap percikan api unik berbentuk loceng pada muncung laras senjata tersebut. Sistem pengedap percikan api ini mempunyai ruang yang khusus agar belerang yang masih wujud akan terbakar di dalam ruang tersebut dan menghambur keluar hanya ke hadapan dan tidak ke sisi atau atas dan bawah muncung laras.

Antara 5.56mm dan 9mm
Penggunaan sistem raifal tempur yang telah diubah suai sepertimana yang telah diterangkan kini mendapat perhatian banyak pihak. Jika sebelum ini sistem seperti submesingan MP5 dilihat menjadi ‘Raja’ kepada pertempuran di dalam bangunan kini ia bukan lagi satu kenyataan yang dipersetujui oleh banyak pihak. Terdapat beberapa faktor yang boleh diperdebatkan apabila memperkatakan mengenai perkara tersebut. Faktor utama yang sering dikaitkan sebagai kelebihan sistem MP5 ialah bagaimana ia mesra pengguna dan mempunyai sistem kitaran operasi yang dianggap sangat efisyen dan telah terbukti dalam pelbagai konflik global, terutama dalam operasi menentang keganasan. Satu lagi faktor yang sering dikaitkan dengan sistem tersebut ialah bagaimana ianya amat mudah dikawal walaupun ketika penembakan automatik sepenuhnya digunakan terhadap sasaran. Kurangnya lonjakan laras serta tidak akan menimbulkan keraguan mengenai anak peluru bakal menembusi sasaran dan mengakibatkan kecederaan atau kematian serta kemusnahan objek di sebalik sasaran kerana kaliber peluru yang rendah turut dianggap sebagai faktor positif bagi penggunaan submesingan tersebut. Selain itu dalam ruang yang terhad dan tertutup seperti di dalam bangunan, bunyi yang dihasilkan akibat penembakan peluru 9mm dikatakan tidak terlalu kuat berbanding bunyi yang dihasilkan oleh raifal 5.56mm.

    Bagi pihak yang menyokong penggunaan sistem raifal tempur berkaliber 5.56mm, mereka berpendapat kemampuan keseluruhan sistem kaliber tersebut sebenarnya mampu memberikan pengendali sistem raifal kemampuan tempur yang jauh lebih baik. Salah satu faktor yang diambil kira ialah tahap ancaman dalam pelbagai konflik yang berlaku hari ini, dan ini tidak tertakluk hanya kepada operasi-operasi ketenteraan sahaja. Hari ini penjenayah, golongan militia, pengganas dan juga kumpulan penjenayah terancang memiliki kemampuan dan sistem persenjataan serta kelengkapan yang lebih moden dan canggih. Ini termasuklah sistem persenjataan seperti raifal dan pistol berkapasiti tinggi selain dari ves kalis peluru. Menurut mereka lagi melengkapkan anggota dengan sistem submesingan yang berkaliber 9 x 19mm yang merupakan pada asasnya adalah peluru pistol hanya akan menghadkan kemampuan kuasa tembakan anggota kepada tahap yang paling minima. Peluru 9mm yang ditembak bakal mempunyai tenaga di muncung laras dengan kekuatan 475 Joules berbanding peluru 5.56mm dengan kekuatan 1785 Joules (Satu joule jika diukur secara mudah adalah jumlah kekuatan tenaga yang diperlukan untuk mengangkat beban seberat 102g setinggi satu meter dibawah tarikan graviti).

    Perbandingan ini sudah cukup untuk membayangkan bagaimanakah kuasa perobekan yang dihasilkan oleh kedua-dua jenis peluru. Walaupun faktor penembusan keterlaluan peluru kaliber 5.56mm dikatakan memihak kepada sistem kaliber 9mm apabila bertempur pada jarak amat dekat, namun kelebihan ini akan hilang setiap kali jarak pertempuran digandakan berulang kali. Pada tahap melebihi 50 meter atau apabila terdapat halangan fizikal, kelebihan kaliber 9mm akan mula hilang. Pada jarak melebihi 100 meter, jarak efektif peluru pistol dianggap tidak lagi begitu releven. Malah kelebihan yang terdapat pada sitem peluru 9mm dikatakan akan menghadapi masalah jika musuh berlindung disebalik halangan fizikal atau memakai ves kalis peluru tahap rendah yang dengan mudah boleh ditembusi menggunakan peluru raifal tempur.

    Permasalahan kesukaran untuk mengawal sistem raifal tempur 5.56mm apabila membuat tembakan automatik sepenuhnya sebenarnya tidak timbul kerana kesemuanya bergantung kepada  latihan dan disiplin pengendali sendiri. Malah keadaan ini boleh dielakkan terus dengan hanya menggunakan mod tembakan separa automatik atau tembakan gugusan tiga butir sahaja. Kebanyakan sistem raifal tempur hari ini dilengkapkan dengan ciri-ciri kawalan tembakan yang sedemikian. Hari ini dengan peningkatan teknologi bahan logam dan pembuatan, sistem raifal tempur kaliber 5.56mm dihasilkan dalam bentuk yang lebih kompak, malah jika dibandingkan saiznya secara fizikal, tidak lagi terdapat banyak perbezaan nyata antara kebanyakan sistem submesingan dan juga raifal tempur.

Aksesori – sesuatu yang wajib bagi raifal tempur moden?
Pada suatu masa dahulu aksesori bagi raifal tempur yang boleh digunakan oleh seorang anggota infantri adalag merupakan sebilah benet. Hari ini sepertimana dengan peningkatan teknologi persenjataan, pelbagai aksesori ditawarkan bagi meningkatkan kuasa tembakan sistem raifal tempur. Memandangkan tujuan utama seoarang anggota mengguakan raifal tempur adalah untuk memusnahkan musuh dari jarak jauh dengan tembakan yang tepat, sebahagaian besar dari aksesori yang ditawarkan adalah yang berkaitan dengan kemampuan untuk membuat tenangan yang cepat dan tepat ke sasaran. Oleh yang demikian fokus tentunya adalah pada sistem pejera optik dan elektronik, termasuklah sistem pancaran laser serta pengimejan haba dan alat pandang malam. Dalam 15 tahun kebelakangan ini teknologi sistem optik yang boleh diguna pakai bagi membantu pengendali raifal tempur beroperasi dengan lebih efektif di medan tempur dirasakan telah mengalami satu anjakan yang amat ketara. Hari ini antara sistem pejera yang popular berbanding sistem teropong tradisional ialah sistem ‘red-dot’.

    Sistem sebegini menggunakan teknologi pencahayaan laser untuk memberikan titik tenangan kepada pengendali yang hanya boleh dilihat melalaui skrin optik pada raifal dari kedudukan di belakang sistem. Ini berbeza dengan sistem penunjuk laser atau ‘laser pointer’ yang memancarkan pancaran cahayanya ke atas sasaran secara fizikal.  Dengan melaksanakan pelarasan pada jarak tertentu, titik cahaya sistem red-dot boleh diselaraskan dengan impak hentaman anak peluru mengikut jarak yang telah ditetapkan. Ini memberikan pengendali kemampuan untuk melihat, menenang dan memusnahkan musuh dengan hanya ‘meletakkan’ titik cahaya ke atas musuh melalui sistem pejera optik dan menarik picu. Apa yang lebih menarik ialah pengendali tidak perlu meletakkan kepala beliau pada kedudukan sudut tertentu yang terhad sepertimana yang harus dilakukan sekiranya teropong optik tradisonal diguna pakai, sebaliknya yang utama ialah titik merah di dalam skrin sahaja yang perlu diletakkan di atas sasaran.

        Salah satu penciptaan yang dilihat merevolusikan kemampuan untuk memasang pelbagai jenis aksesori pada raifal tempur adalah sistem pautan yang dikenali sebagai landasan ‘Picatinny’ atau ‘Picatinny Rail’. Ia merupakan landasan yang dipasangkan pada bahagian pengadang tangan hadapan dan mempunyai takuk khas. Tapak aksesori boleh dipadankan dengan lekuk-lekuk tersebut dan diperketatkan dengan sistem skru khas. Ini menjadikan ia terlekat pada senjata dengan kemas dan tetap pada keadaannya walaupun berlaku gegaran serta lonjakan kuat akibat dari kuasa tendangan peluru yang dilepaskan.  Selain sistem yang membantu pengendali melaksanakan tenangan terhadap sasaran dengan lebih cepat, tepat dan pada jarak lebih jauh, kuasa tembakan raifal tempur turut dipertingkatkan dengan memasang aksesori pelancar bom atau grened. Terdapat dua jenis pelancar yang boleh dipasangkan, pertama ialah pelancar sambungan yang boleh dipasangkan pada hujung muncung laras dan digunakan apabila sistem grened raifal mahu diluncurkan.         Sistem grened raifal adalah merupakan sistem grened yang mempunyai bentuk seperti bom mortar kecil dan ia dilancar dengan memerangkap tekanan gas sama ada dari peluru biasa atau yang dikhaskan bagi tujuan tersebut. Hari ini sistem pelancar grened yang berupa satu sistem yang mempunyai laras tersendiri lengkap dengan sistem picu berasingan yang boleh dipasangkan pada raifal tempur adalah aksesori yang lebih popular di kalangan anggota infantri. Ini kerana sistem grened ini boleh dioperasikan secara berasingan tanpa mengganggu pengoperasian raifal itu sendiri. Dua jenis sistem pelancar grened bawah laras yang paling utama digunakan hari ini adalah sistem M203 pada raifal tempur M16 serta variasinya, dan sistem GP-25 serta GP-30 untuk raifal AK-47 dan variasinya. Penggandaan kuasa yang diperolehi oleh pengendali sistem raifal tempur yang dipasangkan dengan grened adalah amat berkesan dalam apa jua keadaan operasi. Ini kerana sistem grened kaliber 40mm akan memberikan pengendalinya kuasa tembakan yang jitu, terutama terhadap sekumpulan anggota musuh yang sedang berada di kawasan terbuka, selain dari mampu mengakibatkan kerosakan mahupun kemusnahan kepada peralatan dan kenderaannya.

    Bagi pasukan khas atau untuk melaksanakan operasi-operasi sulit, tentunya tidak akan lengkap sekiranya raifal tidak dipasangkan dengan alat penyenyap bunyi. Sistem penyenyap bunyi lazimnya disambungkan pada muncung laras sama ada dengan diskrukan atau diketatkan pada muncung laras dengan sistem klip khas. Sebahagian besar dari penggunaan alat penyenyap bunyi yang digunakan pada raifal tempur tidak bertujuan untuk ‘menghilangkan’ terus bunyi kerana ia adalah sesuatu yang mustahil dapat dilaksanakan, walaupun apabila menggunakan sistem peluru subsonik (peluru yang mempunyai kelajuan lebih rendah dari kelajuan bunyi) seperti yang digunakan pada kebanyakan submesingan berkaliber 9 x 19mm. Untuk mencapai tahap sedemikian akan menjadikan tahap kuasa perobekan peluru menjadi terlalu rendah menyebabkan ia tidak lagi efektif untuk memusnahkan musuh. Selain itu ia juga bakal memerlukan saiz penyenyap bunyi mempunyai  panjang keseluruhan yang dianggap sebagai tidak lagi praktikal disamping berat keseluruhan raifal yang akan bertambah dengan drastiknya.

Raifal tempur masa depan
Dalam perbincangan mengenai menentukan arah halatuju trend sistem raifal tempur masa depan, terdapat beberapa faktor yang seharunya diambil kira terlebih dahulu. Antara yang kritikal ialah faktor ancaman yang bakal mendatang, peningkatan kemampuan fizikal rafal dan peluru yang diguna pakai untuk mengakibatkan kemusnahan yang paling efisyen serta kos yang akan ditanggung untuk menghasilkan sejenis sistem raifal tempur yang releven kepada ancaman persekitaran dan untuk jangamasa panjang. Walaupun hari ini teknologi persenjataan dianggap telah jauh kehadapan berbanding era selepas Perang Dunia Kedua, ia tidak menjamin bahawa terdapat peruntukan bagi menghasilkan sistem raifal tempur yang baru dari bajet pertahanan sesebuah negara.  Ini menyebabkan banyak industri merasa kurang yakin untuk mencipta atau mengetengahkan sistem raifal tempur baru sekiranya tidak ada jaminan bahawa ianya akan diterima pakai oleh angkatan tentera sesebuah negara. Salah satu contoh yang boleh dijadikan tauladan ialah firma Jerman, Heckler & Koch (HK) yang telah memulakan program bagi menghasilkan sistem peluru tanpa kelongsong yang bakal diguna pakai dalam raifal baru iaitu Gewehr 11 atau G11. Kerja-kerja awal dilakukan sejak dari tahun 1070an lagi dan raifal terhasil pada tahun 1980.                

Dengan kepercayaan tinggi bahawa pihak tentera Jerman akan menggunakan raifal tersebut, kerja-kerja akhir menyempurnakan raifal baru ini diteruskan pada tahun-tahun 90an. Peruntukan yang telah diguna pakai oleh firma HK bukanlah sedikit dan menjangkau berpuluh juta dari dana mereka sendiri. Malang bagi mereka pada pertengahan 90an juga menyaksikan bagaimana runtuhnya Tembok Berlin dan penyatuan semua dua Jerman yang telah sekian lama terpisah akibat Perang Dingin. Akibatnya pihak kerajaan Jerman Barat telah terpaksa mengambil-aleh pemerintahan dan bajet keseluruhan negara Jerman yang baru ini.memandangkan keadaan ekonomi Jerman Timur berada dalam keadaan yang amat teruk, bajet dari Jerman barat terpaksa diguna pakai, dan seperti lazimnya mangsa pemotongan bajet paling awal adalah ke atas pihak kementerian Pertahanannya. Akhirnya sebagai ‘pemanis mulut’ kerajaan Jerman hanya bersetuju untuk memperolehi sejumlah 1000 laras raifal G11 sahaja! Akibat dari ini, HK mengalami masalah kewangan yang meruncing dan akhirnya terpaksa diambil aleh oleh pihak firma British Aerospace untuk memastikan bahawa ia kekal beroperasi. Nasib raifal G11 turut berkubur.

    Beberapa program lain turut cuba mencari apakah sistem masa hadapan yang mampu memberikan anggota infantri sistem raifal tempur yang paling optima prestasinya. Program ini lazimnya dilaksanakan selari dengan program perajurit masa hadapan yang dilengkapkan dengan pelbagai sistem komunikasi, elektronik dan optik. Kemudahan ini bakal digabungkan dengan sistem raifal tempur terkini yang turut dilengkapkan dengan pelbagai sistem berteknologi tinggi. Antara program yang dianggap paling kehadapan adalah program yang diklasifikasikan sebagai OICW (Objective Individual Combat Weapon) milik Amerika Syarikat. Ia merupakan sebahagian dari program Land Warrior yang merupakan usaha pihak Amerika untuk melengkapkan anggota pasukan infantri tentera daratnya sebagai anggota paling berkemampuan dalam  pertempuran darat di dunia ini.

    Kedua-dua program menggabungkan ciri-ciri kemampuan teknologi digital untuk memberikan kemampuan memusnahkan musuh yang sebelum ini belum pernah dimiliki oleh seorang anggota infantri di medan tempur. Apa yang dilakukan bukanlah satu penciptaan baru dalam cara memusnah anggota musuh, tetapi melaksanakannya dengan cara yang dianggap paling efisyen dan efektif. Ia diasasakan dari sistem raifal tempur kaliber 5.56 x 45mm yang dipadankan dengan sistem pelancar grened 20mm. Kedua-dua senjata diintegrasikan sebagai satu raifal tempur baru melalui sistem arahan dan kawalan yang unik, merangkumi sistem pencarian sasaran, sistem pejera elektro-optik, sistem fius grened yang diprogramkan oleh pengendali serta kemampuan melepaskan tembakan terhadap sasaran yang berada di belakang perlindungan. Sejauh manakah sistem raifal tempur ini bakal mampu memberikan kelebihan kepada infantri Amerika Syarikat masih belum diketahui jawapannya. Tidak kurang juga pemerhati yang berpendapat bahawa program-program sedemikian kerap menelan kos yang tinggi dan mengambil jangkamasa yang terlalu lama untuk menjadi kenyataan.

    Apa yang dirisaukan mereka ialah setelah sekian lama melaksanakan ujian dan menghabiskan berjuta Dollar, apabila sistem dianggap matang teknologinya serta bukan lagi boleh dianggap sebagai prototaip, perubahan teknologi global yang begitu pantas akan membuatkannya tidak begitu releven lagi, atau sistem elektroniknya terlalu rumit dan tidak stabil  disamping kos sistem yang dianggap terlalu mahal untuk dihasilkan

Last Updated ( Friday, 10 April 2009 )
 
< Prev   Next >

Sponsored Links

Our Partners

About This Site

The new TEMPUR website was launch on 16th April 2009. All readers are welcome to get the latest information regarding military that was covered by Tempur.

Privacy Policy

This policy applies to the following Tempur website. We created this privacy statement to describe our commitment to your privacy. 

Current Visitors