|
NCO & GBAD - Menggalas Cabaran TUDM |
|
|
|
Backdated Issues 2009 -
June 2009
|
|
Written by Zuridan Bin Muhammad
|
|
Friday, 05 June 2009 |
|
Sebagai sebuah angkatan udara, Tentera Udara Diraja Malaysia atau
akronimnya TUDM kerap ditonjolkan oleh media ke mata umum dan kerap
dijadikan seakan penanda aras (walaupun kurang tepat) kepada kekuatan
dan kemampuan ATM itu sendiri. Kadang-kala dirasakan umum atau pihak
awam begitu taksub dengan perkara ini hinggakan perbandingan yang
dibuat jelas sekali tidak berasas, mahupun seimbang atau mengambil-kira
kesemua fakta dan faktor yang berkaitan atau releven.
Mungkin teori kuasa udara yang disogokkan oleh pihak media global, terutamanya pihak media Barat dan Amerika yang mempunyai agenda tersendiri telah tepu dalam pemikiran sesetengah pihak. Aliran perang saraf mengenai bagaimana kekuatan udara moden hari ini dengan sistem radar canggih, kemampuan halimunan, platform tanpa pemandu, bom dan peluru berpandu pintar mampu memusnahkan kekuatan udara, darat dan laut musuh telah benar-benar di’buktikan’ terutama dalam konflik-konflik terkini seperti di Iraq dan Afghanistan. Kini kekuatan udara dilihat mampu dijadikan sebagai satu senjata propaganda yang amat berkesan, khususnya untuk memberikan gambaran mengenai bagaimana sebuah angkatan tentera mempunyai aset canggih dan kemampuan jitu untuk memusnahkan musuh mereka. Pada suatu masa dahulu, hanya pihak Amerika Syarikat sahaja yang kerap memainkan video rakaman penembakan atau pengeboman menggunakan kamera video dari pesawat udara atau sistem peluru berpandu yang dilancarkan. Hari ini video-video yang sedemikian telah dijadikan santapan di kaca TV media elektronik global. Konflik di lembah Swat, Pakistan dan pesisir pantai utara Sri Lanka adalah contoh yang paling terkini bagaimana penggunaan perang saraf ini semakin popular.
Bagi umum di negara ini kecanggihan kelengkapan dan kemampuan manuver udara yang dilaksanakan oleh pesawat-pesawat TUDM kerap dianggap sebagai sesuatu yang dikaitkan secara langsung dengan kekuatan dan kecanggihan TUDM itu sendiri. Ini dapat dirasakan dengan jelas melihat kepada reaksi penonton tempatan ketika berlangsungnya pertunjukan pener-bangan oleh pesawat-pesawat MiG-29, F/A-18D dan paling terkini Su-30MKM dalam pameran dwi-tahunan LIMA di Langkawi. Ini membuatkan kehendak umum agar pihak Kerajaan, atau TUDM sendiri melaksanakan perolehan aset dan platform yang paling canggih dan terkini kerap dilaungkan, walaupun diketahui bahawa kos perolehan yang terpaksa ditanggung bukanlah dalam jumlah yang kecil. Euforia yang melanda pihak awam yang begitu tertarik dengan ciri-ciri penerbangan pesawat dan rakaman kecanggihan sistem peluru berpandu yang dipaparkan media elektronik saban hari kadang-kala menguasai dan mengabui pandangan mereka kepada fakta bahawa kekuatan sebuah angkatan udara tidak hanya terletak kepada kecanggihan platform sahaja. Platform yang canggih semata-mata mungkin akan memberikan kelebihan kepada juruterbangnya bagi memusnahkan musuh dalam pertempuran udara ke udara dengan sebuah pesawat musuh dalam pertempuran yang bersifat terasing, namun ia hampir pasti tidak akan menjadi faktor paling utama dalam percubaan mana-mana angkatan udara untuk menjadi pemenang dalam sesuatu konflik atau peperangan. Banyak lagi faktor-faktor lain, baik dalaman mahupun luaran yang sebenarnya mempunyai impak langsung dan tidak langsung kepada kalah menangnya sebuah angkatan udara apabila tercetusnya pertempuran udara khususnya dan peperangan konvensional secara amnya.
CABARAN Bagi menyingkap apakah yang telah, sedang dan bakal dilaksanakan oleh pihak TUDM bagi menjadikan ia sebagai sebuah angkatan udara yang kredibel, TEMPUR mengajak pembaca untuk melihat pembangunan cabang ATM ini dari satu perspektif yang mungkin jarang-jarang diketahui oleh pihak umum. Ianya adalah sesuatu yang rasional dan berpaksikan kepada trend masa lampau dan yang dijangka bakal dilakukan oleh TUDM bagi memenuhi kehendaknya sebagai benteng pertahanan ruang udara negara yang paling utama. Apa yang paling utama ialah untuk umum dan media perdana keluar dari kotak pemikiran yang sempit dengan hanya mahu mempersoal-kan tentang platform semata-mata kerana pemikiran sebeginilah yang sebenarnya memberikan gambaran yang tidak tepat apabila sesuatu laporan dihasilkan dan dipertontonkan melalui media atau dikongsi bersama. Mempunyai platform yang mampu terbang paling laju, membawa bom dan peluru berpandu paling canggih atau daya manuver paling lincah mungkin akan memenangkan pesawat tersebut apabila berhadapan dengan sebuah lagi pesawat musuh dalam pertempuran udara ke udara, namun tidak dalam peperangan. Sebagai contoh, dalam peperangan moden hari ini kesemua pihak mengakui bahawa tidak mungkin lagi sebuah cabang angkatan sama ada darat, laut atau udara mampu melaksanakan operasi secara bersendirian dan mengharapkan bahawa ia sahaja adalah memadai bagi menghadapi sebuah angkatan musuh yang bersepadu. Operasi bersama atau ‘Joint Operations’ hari ini bukan lagi sesuatu yang terpencil, tetapi adalah merupakan satu keperluan. Dalam operasi sedemikian perkara paling kritikal untuk semua yang terlibat ialah sistem komunikasi antara semua pihak baik antara hirarki dalam satu cabang, mahupun antara cabang perkhidmatan. Ia mestilah efisyen dan tanpa sempadan. Daya mobiliti yang amat tinggi, geografi medan tempur yang luas, sistem penghantaran dan pelancaran kuasa tembakan yang mampu menjangkau beribu-ribu kilometer dan kemampuan sistem informasi mencerna data dengan pantas bagi menghasilkan output yang releven tidak lagi membenarkan sebuah angkatan tentera untuk melaksanakan peperangan mengikut kaedah tradisional. TUDM juga, sama ada mahu atau tidak, turut akan dilanda arus pembaharuan atau evolusi ketenteraan ini jika ia mahu terus kekal releven sebagai pengawal kedaulatan angkasa negara.
Persepsi dan Realiti Tentu sekali individu yang paling layak untuk dijadikan sebagai kayu pengukur kepada proses pemodenan atau peningkatan kemampuan hakiki TUDM adalah pegawainya yang tertinggi, atau Panglima Tentera Udara (PTU) sendiri iaitu Jeneral Tan Sri Azizan Ariffin yang kini menjawat tampuk kepimpinan TUDM pada kala ini. Tentunya untuk mengupas ke arah manakah arah hala tuju pembangunan dan pengukuhan kekuatan TUDM untuk tempoh jangkamasa terdekat, umum seharusnya melihat dan meneliti apakah yang telah ditekankan oleh PTU serta isyarat-isyarat dan tanda-tanda perolehan yang dibayangkan oleh beliau, terutamanya seperti mana yang dilaporkan oleh pihak media perdana. Malangnya seperti yang telah dinyatakan sebelum ini pihak media dan juga umum kerap tidak dapat memahami atau cuba mendapatkan kefahaman yang sebenarnya mengenai pelan jangkapanjang TUDM. Antara sebab-sebab yang dikaitkan dengan fenomena ini adalah keengganan banyak pihak untuk memahami bahawa kewujudan dan kemampuan sebuah pasukan tentera udara bukan hanya terletak pada pemilikan pesawat tempurnya sahaja yang gah terbang di udara ketika pameran pertahanan dan penerbangan lintas Hari Kebangsaan dengan juraian bom serta peluru berpandu pada pautan di bawah sayap dan badan atau dengan membandingkan fakta kelajuan pesawat, kemampuan membawa beban bom, ciri halimunan dan sistem radarnya sahaja. Kekuatan sebuah angkatan udara perlu di ukur secara holistik dari sudut kemampua bukan sahaja untuk juruterbangnya menerbangkan pesawat tempur sahaja tetapi juga kemampuan logistik, kecekapan krew darat, kemampuan selengaraan pesawat dan alat ganti, modal insan yang berkualiti di semua peringkat, kemampuan sistem pertahanan udara serta sistem radar pengawasan dan kemampuan sistem arahan serta kawalan disamping pelbagai lagi. Harus di ingat bahawa angkatan udara, walaupun tugas terasnya adalah untuk mempertahankan ruang udara negara dari diceroboh atau memusnahkan platform musuh yang mempunyai niat buruk terhadap negara, namun ia juga mempunyai tugas sekunder yang dilihat lebih utama (sehingga kini ketika waktu aman), iaitu dalam operasi-operasi penerbangan udara yang tidak mempunyai sifat operasi perang konvensional. Ini termasuklah penerbangan ehsan, pemindahan anggota dan pihak awam, bantuan ketika bencana alam, penyusupan pasukan khas, mencari dan menyelamat serta rondaan udara. Kesemua faktor tersebut menyumbang kepada bagaimana sepatutnya sebuah pasukan tentera udara yang benar-benar mantap dan berkemampuan tinggi dinilai sebilang masa. Malah bagi negara seperti Malaysia yang mempunyai dasar pertahanan khusus seperti HANRUH (Pertahanan Menyeluruh) dan KESBAN (Keselamatan dan Pembangunan) keadaan ini dilihat sebagai lebih relevan.
Selain dari memperkatakan tentang kemampuan aset fizikal tentera udara dan misi yang bakal dilaksanakan pada masa hadapan, umum juga kerap mengabaikan faktor modal insan serta sistem, tetapi memberikan tumpuan yang keterlaluan kepada platform semata-mata. Pembangunan modal insan dan sistem sebenarnya mestilah bergerak seiring dengan perolehan aset terkini dan moden. Ini kerana jika terus mahu menjadi pengguna kepada sistem-sistem pesawat canggih, TUDM seharusnya mempunyai sejumlah modal insan yang berupaya mengekalkan tahap operasi pesawat dan platform kepada status operasi siap sedia sebilang masa. Ini bukan satu perkara mudah terutamanya jika kita telah mempunyai kebiasaan sebagai pengguna produk sahaja, tidak kurang dan tidak lebih dari itu.
Perutusan khas yang membayangkan harapan Dengan perbincangan pelbagai media, baik perdana mahupun alternatif, bercetak mahupun elektronik, berbagai tanggapan dan pendapat disuarakan kepada umum mengenai bagaimanakah TUDM harus dibentuk dan di lengkapkan. Seperti biasa mereka-mereka yang bergelar ‘penganalisis’ mahupun ‘bloggers’ dari pihak media kerap mengetengahkan isu pembangunan TUDM, terutamanya mengenai perolehan aset dan kos yang perlu dibayar negara kepada pihak pengeluar. Apakah pelan jangkapanjang TUDM hanya berkisar tentang perolehan pesawat tempur dan helikoipter sahaja? Jawapannya sudah pasti tidak benar.
TEMPUR merasakan bahawa salah satu dokumen yang sebenarnya telah dapat memberikan satu imbasan yang amat jelas kepasa umum mengenai arah halatuju pembangunan kemampuan TUDM dalam tempoh masa terdekat ini adalah apa ynag pernah diutarakan oleh PTU dalam ucapan atau perutusan khas beliau sempenan Sambutan Jubli Emas TUDM ke-50 pada tahun lalu. Apa yang telah beliau ketengahkan adalah beberapa perkara yang dianggap amat kritikal untuk diketahui oleh semua pihak yang mempunyai hubungan langsung dengan TUDM, baik sebagai warga TUDM sendiri, pucuk kepimpinan negara, kontraktor, pembekal aset dan plaform mahupun warga negara ini yang berjiwa patriotik dan mahukan yang terbaik bagi cabang udara angkatan tentera tersebut.
Sebenarnya jika kupasan dibuat terhadap beberapa isu penting yang telah diketengahkan oleh PTU dalam perutusan khas tersebut , pihak media perdana dan alternatif seharusnya akan dapat menjawab pelbagai persoalan yang selama ini menghantui fikiran tanpa perlu membuat pelbagai andaian dan rumusan yang boleh dianggap rata-ratanya lebih banyak mengelirukan minda umum atau pembaca yang mengharapkan maklumat yang lebih tepat mengenai status dan rancangan jangka panjang TUDM.
Terdapat tiga perkara utama yang disentuh oleh Jeneral Tan Sri Azizan Ariffin dalam perutusan tersebut yang dirasakan paling signifikan. Pertama, untuk cuba melengkapkan keupayaan dan menguasai evolusi peperangan empat dimensi iaitu; di bawah permukaan (sub-surface), permukaan (surface), ruang udara (aerospace) dan juga siber (cyber). Kedua untuk membina dan melengkapkan satu jaringan sistem misil pertahanan udara jarak sederhana dan jauh yang berpaksikan kepada sistem pertahanan yang dikenali dengan akronimnya sebagai GBAD (Ground Based Air Defense) yang mempunyai sifat kebersamaan sistem dan platform yang boleh diasimilasikan dengan sistem pertahanan udara dua lagi cabang Angkatan Tentera Malaysia, iaitu pihak tentera darat dan juga laut. Ketiga adalah peningkatan ilmu dan kemampuan diri pada setiap anggota dan pegawai atau modal insan TUDM sendiri dalam proses yang tiada penghujungnya atau peningkatan berterusan (continuous improvement) sepanjang masa mereka berkhidmat dalam organisasi tersebut.
Menilai ketiga-tiga perkara yang telah ditekankan beliau, satu rumusan mudah boleh dibuat bahawa untuk masa terdekat, proses utama yang mahu dilengkapkan oleh PTU yang menerajui pucuk kepimpinan TUDM. Faktor pertama dan ketiga iaitu untuk terus menguasai evolusi peperangan empat dimensi dan mempertingkatkan keupayaan dan budaya ilmu di kalangan keanggotaan TUDM boleh dirangkumkan menjadi satu faktor yang paling utama. Ini kerana untuk sesuatu evolusi berlaku ia bakal memerlukan bukan hanya setakat perolehan sistem dan platform yang berkeupayaan tinggi yang bakal menelan belanja berbilion Ringgit, tetapi juga prasarana modal insan yang mampu menggarap dan mengoptimakan aset yang sedia ada untuk mencapai tahap penggunaan dan pengoperasian yang maksima. Ini mustahil dapat dicapai sekiranya modal insan di dalam TUDM mempunyai budaya ilmu yang jumud atau lebih sukar lagi menganggap bahawa usaha menimba ilmu sudahpun tamat tempohnya sebaik berjaya menggenggam segulung ijazah dari pusat-pusat pengajian tinggi dalam atau luar negara. Jika inilah sikap yang diambil oleh sebahagian besar dari kalangan anggota dan pegawai TUDM, maka ada lebih baiknya impian untuk memiliki sebuah angkatan udara yang kredibel dilupakan sahaja.
Mungkin ramai yang kurang bersetuju dengan andaian yang disebutkan ini tetapi jika diperhalusi apa yang diungkapkan oleh Jeneral Tan Sri Azizan Ariffin, segala-galanya sebenarnya adalah terang lagi bersuluh. Dalam perutusan tersebut beliau menyatakan;
“TUDM kini melangkah ke hadapan dengan gagah, sambil melengkapkan keupayaan untuk menguasai evolusi peperangan empat dimensi iaitu; di bawah permukaan (sub-surface), permukaan (surface), ruang udara (aerospace) dan siber (cyber). Kini TUDM memberikan tumpuan terhadap aspek elektromagnetik yang menuntut pengetahuan dan kemahiran yang tinggi di dalam bidang teknologi informasi & komunikasi (ICT). Sejajar dengan perkembangan ‘information operations’ , TUDM akan terus membangunkan modal insan bagi menyahut cabaran ini agar dapat mewujudkan pegawai dan anggota TUDM yang berkemahiran tinggi di dalam cabang-cabang ‘information operations’ yang merangkumi operasi jaringan komputer (Computer Network Operations), peperangan elektronik, operasi psaikologi, keselamatan operasi dan ‘tipu-helah’ ketenteraan (military deception). Semua ini adalah berobjektifkan penguasaan kukuh ke atas keempat-empat dimensi peperangan era masa kini.”
Kenyataan ini dirasakan adalah satu isyarat yang begitu jelas kepada semua mengenai ke arah manakah arah halatuju utama TUDM, setidak-tidaknya dalam tempoh masa beberapa tahun akan datang. Huraian mengenai apa yang mahu ditonjolkan oleh PTU dalam perutusan ini sebenarnya harus diberikan penekanan bagi memberikan kefahaman yang sepatutnya kepada semua agar tiada pihak yang terkeliru atau membuat andaian yang kurang tepat terhadap kemahuan organisasi pertahanan angkasaraya Malaysia.
Tumpuan kearah aspek Elektromagnetik Sistem dan platform elektromagnetik adalah sesuatu yang rasanya jarang dijadikan sebagai fokus kepada panglima-panglima tentera udara dalam era sebelum ini. Malah jika adapun, apa yang dikaitkan dengan perkara tersebut hanyalah merupakan kemungkinan TUDM bakal memperolehi sistem pesawat sistem amaran awal udara dalam bentuk pesawat AEW. Pesawat yang dilengkapi sistem penderia optik, radar dan komunikasi ini sebenarnya adalah merupakan sebahagian juzuk yang kecil dalam spektrum platform dan sistem yang berkaitan dengan sistem elektromagnetik bercorak ketenteraan yang lebih dikenali secara global dengan akronimnya sebagai NCW (Network Centric Warfare - peperangan pemusatan rangkaian maklumat).
NCW sebenarnya merangkumi kesemua perkara yang telah disebutkan oleh Jeneral Tan Sri Azizan Ariffin, iaitu bidang operasi jaringan komputer, peperangan elektronik, operasi psaikologi, keselamatan operasi dan ‘tipu helah’ ketenteraan. Ini kerana dalam peperangan moden hari ini baik yang konvensional mahupun peperangan tidak simetri, maklumat, baik dalam bentuk suara, data, video, foto dan isyarat kesemuanya akan dihantar melalui jaringan elektromagnetik menggunakan pelbagai jenis platform yang sedia ada, dari sistem radio selamat, jaringan intra dan internet, sistem komunikasi satelit mahupun gelombang radio. Peperangan moden hari ini mempunyai sifat mobiliti yang amat tinggi dan tentunya pihak tentera udara adalah yang paling utama memandangkan kelajuan dan jarak yang boleh dilalui oleh pesawat-pesawat tempur, pengebom serta logistik adalah amat tinggi dalam masa yang singkat. Akibat dari keadaan ini informasi yang perlu diketahui oleh pihak-pihak yang terlibat dalam operasi udara mestilah sentiasa tepat dan cepat agar aset dan operasi dapat dilaksanakan mengikut peredaran dan keadaan semasa medan tempur yang berubah-ubah. Mana-mana pihak yang mempunyai atau memiliki kemampuan untuk mengumpul dan mengetahui keadaan hakiki medan tempur dalam masa sebenar bakal memiliki kelebihan yang amat ketara berbanding musuhnya yang tidak tahu hujung pangkal mengenai keadaan persekitaran medan tempurnya. Mengetahui dan memiliki maklumat serta data sahaja tidak memadai, ianya perlu dicerna dan satu kesimpulan mestilah mampu dihasilkan agar tindakan terhadap ancaman mahupun peluang baru dilihat mampu dieksploitasikan. Kesimpulan dan tindak balas ini pula mestilah boleh dilaksanakan secara fizikal oleh platform-platform tertentu yang mempunyai keupayaan tinggi untuk melaksanakan misi atau operasi secara berkesan. Kesemuanya ini tidak akan dapat dilakukan jika angkatan tersebut tidak mempunyai sistem jaringan maklumat atau keupayaan NCW yang hakiki.
Bagi pihak TUDM, istilah NCW dianggap sebagai satu istilah yang agak amat komprehensif jika dibandingkan dengan jumlah aset dimiliki serta kemampuan hakiki TUDM dalam melaksanakan peperangan konvensional. Dalam satu pembentangan kertas kerja berkaitan NCW pada 2004 di Australia, Jeneral Tan Sri Azizan Ariffin pernah menyatakan bahawa dalam konteks Malaysia atau TUDM, istilah NCO (Network Centric Operations) atau operasi pemusatan rangkaian maklumat dilihat adalah lebih tepat berbanding NCW. Ini kerana istilah ‘W’ atau warfare (peperangan) dalam akronim NCW adalah dianggap terlalu luas bagi kemampuan hakiki cabang udara TUDM. Beliau membayangkan bahawa bagi pihak TUDM, corak pengoperasian udara adalah lebih relevan kepadanya sehingga hari ini kerana melibatkan operasi-operasi yang merupakan konflik bersenjata bercorak terhad dan bukan bersifat peperangan udara konvensional. Ini mungkin melibatkan operasi terhadap kumpulan pengganas, kumpulan gerila, lanun mahupun dalam usaha mencari dan menyelamat. Walupun demikian kepentingan memiliki dan menguasai jaringan maklumat baik dalam operasi (NCO) mahupun peperangan (NCW) adalah tetap kritikal.
Pengalaman melaksanakan operasi menentang Parti Komunis Malaya (PKM) ketika Darurat II terutamanya adalah satu contoh yang bagaimana operasi udara tanpa pemusatan jaringan maklumat dilaksanakan. Pada era tersebut kesemua pesawat TUDM mengguakan sistem komunikasi suara menggunakan radio semata-mata. Cara ini mempunyai risiko yang tinggi kerana sistem radio yang diguna pakai antara anggota infantri dan pihak TUDM adalah berbeza. Oleh yang demikian anggota infantri harus terlebih dahulu menghubungi markas operasi tentera darat yang kemudiannya akan menghubungi pula pasukan TUDM untuk menyampaikan berita atau mesej. Apa yang kerap berlaku menurut TUDM ialah maklumat mengenai sistem logistik, cuaca dan lokasi sasaran bukanlah maklumat paling terkini atau tepat. Malah kadang-kala ianya diubah-suai dan tidak lagi menggambarkan arahan atau maklumat sebenar tetapi telah di’tokok-tambah’ secara sengaja ataupun tidak. Akibatnya pegawai pemerintah dari cabang udara dan darat ATM dari satu peringkat ke peringkat yang lain mempunyai gambaran dan pelan operasi yang berbeza. Sistem arahan dan kawalan turut menghadapi masalah dan akibatnya maklumat realiti tidak dapat diberikan dengan tepat. Ini kemudiannya membawa kepada permasalahan gambaran hakiki berbeza antara komander dalam satu operasi yang sama. Selain itu melakukan perancangan untuk sesuatu operasi yang melibatkan dua cabang berbeza dalam ATM juga memakan masa yang lama dan kadang-kala perkara sama terpaksa dibincangkan berulang-kali dalam mesyuarat dari peringkat ke satu peringkat.
Perlaksanaan tindakan yang melibatkan platform TUDM juga kerap gagal mencapai maksud dan kehendak sepertimana yang dimahukan dalam operasi-operasi pengeboman dan pembedilan kedudukan gerila PKM. Ini kerana dari awal laporan pengesanan musuh oleh pihak infantri sehingga pengesahan dan pemberitahuan kepada markas tentera darat dan permintaan bantuan tembakan platorm TUDM, ianya bakal melalui proses yang dianggap memakan masa dan kadang-kala faktor kejutan terhadap musuh mungkin tidak lagi dapat dicapai kerana apabila pesawat mula meninggalkan lapangan terbang, musuh telahpun beredar dari lokasi atau koordinat asal yang dilaporkan. Ini menjadikan faktor kenapa TUDM dipanggil untuk memberikan tembakan bantuan, iaitu kepantasan ke kawasan operasi merentas ruang angkasa belantara dan kuasa tembakan yang dimiliki oleh pesawat-pesawatnya tidak dapat menyumbang kepada kejayaan operasi sepertimana yang sepatutnya.
Keadaan atau permasalahan ini terus berlarutan walaupun setelah berlalunya era pasca-Darurat II. Contoh yang paling baik ialah ketika berlakunya kemalangan yang melibatkan sebuah helikopter terhempas, jauh di pendalaman Sarawak. Dalam insiden yang berlaku pada Julai 2004, operasi mencari dan menyelamat yang telah dilaksanakan telah dianggap sebagai operasi mencari dan menyelamat yang terbesar pernah dilakukan di negara ini. Malah setelah hampir tiga minggu pesawat tersebut tidak dijumpai, pihak berkuasa telah menggunakan bantuan dua pakar dalam teknologi infra-merah dan sistem berteknologi tinggi dari Australia untuk mengesan bangkai pesawat tersebut dan apabila ini masih gagal, beberapa bomoh ‘terkemuka’ turut direkrutkan untuk melaksanakan pencarian!
Bagi pihak TUDM yang turut sama melaksanakan pencarian dalam insiden malang ini, kekurangan dari segi kemampuan jaringan maklumat antara pesawat-pesawat serta bilik gerakan mencari dan menyelamat telah benar-benar membuktikan bahawa tanpa sistem jaringan pemusatan rangkaian maklumat yang berkemampuan, operasi-operasi yang bukan sahaja bercorak ketenteraan bakal menghadapi kesukaran, namun operasi seperti mencari dan menyelamat peringkat awam turut menghadapi masalah. Ini kerana sistem jaringan ini akan memberikan gambaran sebenar yang selaras untuk semua pihak yang terlibat, ia juga membuktikan betapa kritikalnya faktor masa, kepantasan sistem arahan dan kawalan serta penyelarasan kesemua agensi dan platform serta sistem yang terlibat. Dalam kemalangan di Sarawak, sebuah pesawat telah turut dipasangkan dengan sistem penderia khas, namun rakaman yang dibuat oleh sistem tersebut tidak dapat dikongsi bersama oleh platform-platform lain. Oleh yang demikian maklumat masih perlu dihantar melalui sistem komunikasi suara menggunakan radio. Selain itu berlaku kejadian bilamana salah sebuah pesawat yang turut sama terlibat dalam operasi mencari secara tidak sengaja memancarkan isyarat kecemasan yang disangka oleh pihak lain sebagai datang dari pesawat yang telah terhempas. Akibatnya tim mencari dan menyelamat telah di ‘hantar’ ke lokasi-lokasi tertentu dari mana isyarat tersebut dipercayai telah dipancarkan dari dan kemudiannya disedari hanya menghabiskan tenaga dan masa bagi tujuan yang sia-sia.
Kesemua ini memberikan kesedaran kepada TUDM bahawa apa yang paling utama kini ialah untuk membina satu rangkaian pemusatan maklumat yang selamat dan boleh diharap bagi menghubungkan kesemua platform dan sistem sedia ada serta akan datang dalam inventori TUDM untuk mengelakkan dari berulangnya perkara-perkara yang telah disebutkan. Ini penting bagi kedua-dua jenis operasi udara, baik ketenteraan mahupun yang berkaitan dengan pihak awam.
Memahami NCO (NCW) Sebahagian besar pihak awam mungkin tertanya-tanya mengenai kenapakah isu NCO ini dianggap begitu kritikal kepada TUDM. Agak sukar untuk mendapatkan jawapan yang sama oleh semua pihak dalam perkara ini kerana istilah yang diguna pakai oleh angkatan tentera gobal dalam menerangkan apakah yang dimaksudkan sebagai NCO/NCW adalah agak berbeza mengikut kesesuaian metadologi operasi serta aset dan platform yang dimiliki masing-masing. Walaupun demikian maksud utama atau intipati kepada NCO/NCW dipersetujui dan difahami dengan mudah sebagai ‘komunikasi efektif’. Apa yang dimaksudkan sebagai komunikasi efektif disini ialah satu proses dimana sekumpulan individu, dari dua pada jumlah yang paling minima kepada potensi berjumlah beribu-ribu atau lebih mampu berinteraksi dan bertukar informasi yang berfaedah, dalam masa sebenar dan difahami oleh pihak yang menerima dan juga menghantar informasi tersebut. Analogi istilah yang turut diguna bagi menerangkan tentang sifat NCO/NCW adalah seperti ‘sistem dalam sistem’, ‘grid maklumat global’ mahupun ‘setiap anggota sebagai satu penderia’.
Sejarah NCO/NCW sebenarnya telahpun wujud sejak dari Perang Dunia Pertama lagi. Ia bukanlah dalam bentuk komunikasi digital sepertimana yang kita ketahui hari ini, tetapi adalah dalam bentuk yang paling primitif mengunakan isyarat tangan dan juga bahasa khusus. Kaedah ini telahpun diguna pakai oleh juruterbang-juruterbang yang melaksanakan misi pengeboman ketika itu. Satu lagi sistem yang kerap dikaitkan sebagai perintis kepada sistem NCO/NCW adalah sistem pertahanan udara yang dibangunkan bagi mempertahankan Kota London dari serangan udara pihak Jerman pada tahun 1917. Ia merupakan sistem yang mengandungi komponen-komponen kritikal untuk menangkis serangan udara iaitu pemantau pesisir pantai (yang mencari pesawat menggu-nakan teropong serta alat pendengar), pesawat tempur, artileri anti-pesawat udara, lampu pencarian sasaran dan unit belon udara. Sistem yang kemudiannya dinamakan sebagai Sistem Ashmore (mengikut nama pegawai memerintah sistem pertahanan udara London, Brigedier Jeneral E.B Ashmore) ini kemudiannya menjadi perintis kepada sistem-sistem pertahanan udara dalam konflik-konflik berikutnya. Ketika Perang Dunia Kedua, pasukan tentera udara British atau RAF menggunakan sistem pertahanan udara sama dan menambah sistem radar pengawasan serta menubuhkan organisasi arahan dan kawalan yang lebih komprehensif. Sehingga tamatnya Perang Dunia Kedua, tentera udara Jerman atau Luftwaffe gagal memecahkan benteng pertahanan tersebut. Pengenalan sistem komunikasi radio yang semakin matang teknologinya selepas era Perang Dunia Kedua terus mempertingkatkan lagi kecekapan sistem tersebut.
Proses menerapkan nilai-nilai NCO/NCW dalam perkhidmatan sama lazimnya adalah lebih mudah diterima berbanding antara perkhidmatan. Walaupun sejak dari awal pengenalannya, faedah dan keberkesanan operasi bersepadu yang berlandaskan kepada sistem NCO/NCW dilihat begitu menonjol, konflik antara perkhidmatan, persaingan antara pegawai-pegawai kanan atau ego yang terlalu tinggi terus menjadi batu penghalang utama kepada pembangunan sitem NCO/NCW. Operasi ‘Rolling Thunder’ yang dilaksanakan oleh pihak Amerika di Vietnam ketika mereka terlibat di negara tersebut antara 1962 hingga 1972 adalah contoh bagaimana perkara ini berlaku. Rolling Thunder adalah merupakan satu operasi besar-besaran untuk mengebom Vietnam Utara bagi memusnahkan sasaran strategik serta kedudukan ketenteraan pihak tentera Vietnam Utara. Pihak pemerintah tentera Amerika telah membahagikan Vietnam Utara kepada tujuh bahagian dengan objektif-objektif tertentu untuk dimusnahkan. Tentera udara atau USAF dipertanggungjawabkan kepada dua bahagian, tentera laut atau USN, empat bahagian, manakala Markas Pemerintah Amerika di Vietnam Selatan diberikan satu bahagian. Sikap ego-perkhidmatan telah menjadikan perancangan operasi yang begitu teliti akhirnya apabila dilaksanakan gagal mencapai objektifnya. Ini kerana perhubungan berkaitan operasi antara tiga entiti yang terlibat iaiatu USAF, USN dan Markas Pemerintah Amerika ketika operasi adalah hampir tidak wujud langsung. Malah pihak USN umpamanya menolak cadangan oleh pihak lain untuk meletakkan serta mengintegrasi kesemua misi serangan dibawah satu markas bersepadu. Akhirnya operasi Rolling Thunder bertukar menjadi seakan satu ‘pertandingan’ antara pihak USAF dan USN mengenai pihak manakah yang berupaya untuk melaksanakan misi pengeboman dan serangan yang paling banyak! Misi pengeboman dilancarkan walaupun keadaan adalah tidak sesuai atau objektif strategik pengeboman tidak pernah dapat dicapai mengikut pelan asal. Kesan langsung dari apa yang berlaku sewaktu operasi Rolling Thunder ialah pihak Amerika gagal melumpuhkan kemampuan Vietnam Utara untuk menghantar anggota dan peralatan perang bagi membantu gerila Vietcong sepertimana yang telah dirancang.
Halangan dan kegagalan tidak pernah menghalang evolusi NCO/NCW untuk diteruskan. Apa yang boleh dikatakan unik ialah penggunaan sistem pemusatan rangkaian maklumat sebenarnya telah dibuktikan berkesan dan perkembangan teknologinya terus melangit oleh pihak awam seperti dalam sektor komersial yang tiada kaitannya dengan aspek ketenteraan. Ini terutamanya dalam sistem perbankan global, sistem tempahan tiket pesawat udara, sistem arahan dan kawalan keretapi dan komuter dan pelbagi industri lagi. Kesemuanya melakukan sistem pemindahan data dan suara yang tidak bersempadan, pantas, selamat serta berkesan. Ini membuatkan sektor ketenteraan tidak mampu menongkah arus perkembangan teknologi NCO/NCW. Sistem & platform yang memungkinkan kemampuan NCO/NCW Selain aspek penggunaan sistem rangkaian pemusatan maklumat oleh sektor awam yang berkesan, dua pemangkin yang membolehkan evolusi NCO/NCW berlaku ialah pembangunan teknologi dan keperluan operasi. Perkara paling utama yang membolehkan dua individu atau platform untuk berhubung antara satu dengan lain tanpa sempadan komunikasi merangkumi dua perkara, iaitu perisian atau sistem dan perkakasan atau sistem fizikal yang diguna pakai oleh platform. Sepintas lalu ia nampak mudah, iaitu dengan menggunakan sistem radio atau isyarat elektronik yang telahpun dipraktikkan dengan meluas sejak dari era Perang Dunia Kedua lagi. Hakikatnya dengan peredaran masa dan teknologi ia menjadi semakin rumit. Kemampuan memintas dan meyerakkan gelombang isyarat elektronik memaksa isyarat dan data di enkripsikan agar ia selamat untuk dihantar dan diterima. Kemampuan menghantar data dan video secara isyarat elektronik memerlukan penggunaan sistem yang lebih berkuasa dan efisyen, manakala penambahan perkakasan operasi yang lain juga bermakna ruang untuk menempatkan perkakasan semakin sempit di dalam pesawat udara memaksa pengeluar menghasilkan sistem yang mempunyai saiz mikro tetapi berkemampuan tinggi. Jika pada suatu masa dahulu, satu sistem hanya boleh bertukar data dengan dua atau tiga platform lain sahaja, hari ini keadaan mobiliti tinggi dan kekalutan medan tempur mungkin memaksa satu platform untuk mempunyai kemampuan berinteraksi dengan berpuluh platform lain bukan setakat di udara sahaja tetapi juga yang berada di darat dan permukaan laut.
Salah satu sistem yang boleh dijadikan contoh sejenis sistem yang telah merevolusikan NCO/NCW hari ini adalah sistem JTRS atau ‘Joint Tactical Radio Systems’. Secara fizikal ia adalah perkakas yang berupa sebuah radio, iaitu sebuah kotak yang boleh dipasangkan pada mana-mana bahagian dalaman pesawat yang mempunyai ruang kosong. Apa yang membuatkan JTRS berbeza dengan lain-lain sistem radio adalah kemampuannya yang pelbagai. Kotak tersebut mampu menghasilkan gelombang isyarat elektronik yang boleh diprogramkan oleh pengendalinya dalam mod yang yang diklasifikasikan sebagai ‘JTRS Cluster’. Cluster 1 jika diguna akan membolehkan pesawat berhubung dengan pasukan sahabat di permukaan bumi serta pesawat helikopter. Cluster 2 pula terhadap sistem radio komunikasi dua arah (handheld radios), Cluster 3 bagi perhubungan dengan pesawat arahan dan kawalan dan Cluster 4 pula untuk berhubung dengan pesawat tempur dan pengebom. Sistem Cluster 5 pula kepada sistem komunikasi khusus yang sering dibawa oleh anggota-anggota pasukan khas dalam operasi-operasi sulit. Kesemua kemampuan perhubungan ini berada di dalam hanya sebuah kotak dan kesemuanya boleh diprogramkan bagi menepati kehendak atau keperluan operasi semasa. JTRS telah memberikan keupayaan buat pertama kalinya bagi sebuah pesawat untuk berfungsi atau berinteraksi dengan pasukan-pasukan yang berada di darat laut mahupun udara.
Jika JTRS adalah merupakan sistem NCO/NCW yang khusus kepada perhubungan radio, satu lagi sistem, yang dikenali sebagai JTIDS (Joint Tactical Information Distribution System) atau LINK 16 pula adalah merupakan sistem yang mampu membenarkan perkongsian bukan setakat suara tetapi juga data taktikal mengikut masa sebenar antara platform tentera laut, pasukan bersepadu dan juga unit-unit tentera NATO. Hari ini sistem LINK 16 dianggap sebagai yang paling berkemampuan berbanding sistem sebelumnya. Antara kelebihan yang dimaksudkan adalah ia bersifat autonomi, kalis penyerakan dan gangguan elektronik, sistem komunikasi yang fleksibel dengan kedua sistem data serta suara selamat boleh diguna pakai, memiliki tahap kawalan keselamatan tinggi dengan sistem enkripsi dan lompatan julat, memiliki sistem jaringan navigasi atau posisi kedudukan global dan jumlah pengguna yang banyak boleh menggunakan sistem dalam satu-satu masa (hari ini terdapat 32,766 ‘alamat’) sama ada menggunakannya dalam satu masa ataupun secara berasingan. Sistem perkakasan yang digunakan oleh pihak Amerika Syarikat apabila menggunakan JTIDS adalah sistem AN/URC-107 (V) yang mengandungi empat komponen utama iaitu sistem pemproses data, sistem penerima dan pemancar, sistem amplifier dan unit kuasa. Apa yang membezakan antara JTRS dan JTIDS adalah kemampuan JTIDS untuk memberikan gambaran yang lebih menyeluruh terhadap persekitaran kawasan operasi kepada kesemua pihak yang terlibat dalam seseuatu operasi atau misi. Contohnya di mana kedudukan pesawat sedang berada relatif kepada pesawat musuh, serta apa dan di manakah lokasi unit-unit atau platform bantuan yang lain. Ini mungkin diberikan dalam bentuk peta digital pada paparan skrin kokpit atau data pada pancaran cermin hadapan helmet juruterbang yang sentiasa dikemaskinikan secara automatik oleh sistem JTIDS dan bukan setakat suara amaran dari sistem radio juruterbang pesawat lain yang terpaksa dihafal lalu disimpan dan dicerna didalam fikiran sahaja.
Pada pertengahan tahun 1990an, pihak Amerika telah melaksanakan satu latihan yang menguji keberkesanan sistem JTIDS. Dalam latihan ini pesawat-pesawat tempur F-15 telah dipasangkan dengan dua jenis sistem komunikasi, iaitu yang menggunakan sistem komunikasi suara sahaja dan yang mengguna-kan sistem komunikasi suara dan data menggunakan sistem JTIDS Link16. Dua tim berasingan dibentuk dan kesemua pesawat mendapat bantuan arahan dan kawalan dari sistem pesawat radar dan amaran awal AWACS. Dalam pertempuran yang melibatkan pesawat-pesawat F-15 tersebut, baik di waktu siang mahupun malam hari, tim pesawat F-15 yang mempunyai JTIDS Link16 mempunyai kemampuan purata memusnahkan musuhnya pesawat F-15 dengan komunikasi suara sahaja, sebanyak 2.5 kali ganda lebih tinggi.
Keperluan operasi adalah satu lagi faktor yang mendorong perkembangan NCO/NCW ke hadapan. Peperangan moden hari ini bukan lagi sesuatu yang bersifat terasing seperti suatu masa dahulu. Ia berkait rapat dengan kemampuan ekonomi, hubungan politik, kemanusiaan dan sosial negara-negara yang terlibat di peringkat dalaman, serantau dan antarabangsa. Selain itu faktor kos dalam bentuk kemusnahan infastruktur, modal insan, perkakasan dan tekanan psaikologi kepada rakyat umum akan menjadi satu beban yang amat berat perlu ditanggung ketika peperangan. Cara yang terbaik untuk megelakkan dari menanggung risiko peperangan yang semakin lama semakin tidak popular ialah dengan cuba mencapai objektif kemenangan dengan pantas dengan kemusnahan aset serta kematian yang paling minima. NCO/NCW akan memudahkan perkara ini untuk dapat dilakukan serta dicapai dengan mudah. Jika dilaksanakan dengan pelan yang baik dan berkesan ia akan dapat menangani ancaman musuh sebelum mereka sempat bertindak memperluaskan medan atau kawasan pertempuran.
Selain itu mempunyai sistem arahan dan kawalan yang bersepadu tanpa mengira di mana kedudukan markas tersebut turut memberikan kelebihan kepada sistem NCO/NCW dengan mengetahui bahawa pihak musuh tidak akan mampu menggangu-gugat kedudukan fizikal pihak pemerintah operasi. Dalam Operasi Enduring Freedom di Afghanistan, pihak tentera udara Amerika dan pasukan Bersekutu melaksanakan purata 83 misi serangan selama 78 hari dengan markas taktikal udaranya di Arab Saudi yang berada 1140 batu nautika dari Kabul, manakala markas operasinya atau CENTCOM berada di Tampa, Florida yang berada 5580 bautu nautika dari Afghanistan!
Implementasi NCO dalam TUDM Dalam pembentangan kertas kerja di Australia pada 2004, Jeneral Tan Sri Azizan Ariffin telah menjelaskan bagaimana proses penerapan sistem NCO bagi TUDM harus dilaksanakan secara berperingkat dan mempunyai penanda arasnya tersendiri. Beliau menjelaskan bahawa walaupun menyedari bahawa apa yang dilaksanakan oleh negara-negara maju dan kaya seperti Amerika Syarikat dalam konteks mengimplementasikan NCW secara meluas adalah yang terbaik, namun faktor kos dan prasarana serta modal insan yang diperlukan bagi membangunkan sistem sedemikian oleh negara ini mungkin agak terbatas.
Cara TUDM melaksanakan program yang sedemkian haruslah mengambil-kira beberapa skop tertentu yang akan menjadikan lebih terhad bersesuaian dengan tahap keupayaan yang wujud di negara ini. Satu perkara yang dianggap mampu menjadi batu penghalang kepada pembangunan NCO yang mantap ialah bagaimana dalam sistem komunikasi TUDM, tumpuan lebih diberikan kepada sistem yang berkonsepkan platform. Ini kerana Malaysia bukanlah sebuah negara yang mengeluarkan pesawat udara, mahupun sistem komunikasi, apa lagi dalam penghasilan sistem jaringan maklumat data dan suara. Ia mempunyai pesawat tempur utama dan sokongan dari pelbagai negara seperti Rusia (MiG-29, Su 30MKM), United Kingdom (Hawk Mk 108/208), Amerika Syarikat (F/A-18D, Hercules C130, Beechraft B200T) dan Indonesia (IPTN CN 235).
Ini menjadikan isu pelarasan sistem komunikasi suara dan data kadangkala agak bercelaru, lebih-lebih lagi dalam sistem penghantaran dan penerimaan data. Apa yang boleh dilakukan oleh TUDM ialah untuk hanya memilihi platform atau sistem persenjataan tertentu yang dirasakan mempunyai kemampuan tinggi dan kemudiannya secara selektif menggabungkan mereka dalam satu sistem jaringan yang terhad tetapi dapat memberikan pulangan yang besar dalam bentuk kuasa operasi dan tembakan.
Untuk membangunkan sistem NCO yang komprehensif, TUDM menurut Jeneral Tan Sri Azizan Aiffin lagi, haruslah terlebih dahulu membangunkan sistem yang boleh dianggap sebagai tapak pelancar atau asas kepada sistem NCO/NCW itu sendiri. Tapak atau asas ini mengandungi elemen-elemen yang kritikal seperti logistik, pengangkutan, latihan kemahiran, sumber manusia, pengurusan krisis, perolehan dan juga perisikan serta pengumpulan maklumat. Hanya setelah isu-isu berkaitan perkara pokok tersebut dapat diselaraskan barulah kita bersedia untuk melangkah lebih jauh dalam bidang berkenaan. Pembangunan tahap teknologi berkaitan NCO/NCW juga dianggap amat pantas dan adalah sukar untuk mengejar perkembangan teknologi bagi diadaptasikan dalam organisasi TUDM kerana jika kita mahu bermula benar-benar dari peringkat bawah, maka perubahan dalam teknologi perisian, perkakasan mahupun cara pengoperasian akan memaksa kita berundur setapak ke belakang setiap kali kita maju ke hadapan.
Bagi Jeneral Tan Sri Azizan kehendak untuk mengetengahkan NCO/NCW bakal menghadapi cabaran besar terutamanya dalam percubaan untuk mengubah dan melaksanakan transformasi budaya yang telah sekian lama ‘berkarat’ dalam organisasi seperti TUDM. Ini terutamanya benar apabila percubaan dibuat untuk mempertingkatkan ilmu dan mengubah jaringan organisasi dan budaya yang sedia wujud hari ini. Organisasi dan budaya ini pula tidak terhad hanya kepada pihak tentera udara sahaja, tetapi juga sektor swasta dan awam, sehinggalah kepada institusi politik dan badan kerajaan. Membina kepercayaan terhadap kemampuan dan penggunaan efektif teknologi NCO/NCW berkemungkinan besar bakal menghadapi masalah kerana bagi membina sistem yang jitu, banyak aktiviti penyelidikan dan pembangunan perlu dilaksanakan. Untuk perkara ini menjadi realiti, dana bakal diperlukan, dan tentunya dana bakal dipohon dari pihak Kerajaan yang mahukan bukti bahawa sekiranya dana sedemikian banyak dilaburkan, maka kegagalan bukanlah satu keputusan atau hasil yang boleh diterima.
Mengambil iktibar dari IAF Masalah yang dihadapi oleh TUDM sebenarnya bukanlah satu masalah yang terhad kepada angkatan udara negara ini sahaja. Sebuah lagi negara yang boleh dianggap memilih jalan untuk tidak terlalu bergantung kepada hanya satu sumber perolehan bagi angkatan udaranya ialah tentera udara India atau IAF (Indian Air Force). Seperti TUDM, pihak IAF turut memperolehi pesawat dari pelbagai sumber, termasuk dari blok negara Barat mahupun Timur seperti Perancis, United Kingdom dan juga Rusia. IAF mempunyai sembilan jenis pesawat tempur yang berbeza, lima jenis pesawat pengangkut jenis berbeza serta enam jenis helikopter. Ini tidak termasuk sistem radar atau komunikasi pesawat tanpa pemandu. Oleh yang demikian tahap dan jenis piawaian yang dimiliki oleh sistem dan peralatan dari sumber negara blok Barat dan Timur jarang-jarang sekali mampu berinteraksi antara satu sama lain. Malah piawaian mudah seperti pengukuran tahap laju, berat dan ketinggian juga tidak sama dengan dsetengah sistem menggunakan piawaian Metrik, manakala yang lain sistem Imperial. Ini belum lagi mengambil kira perisian dan perkakasan elektronik yang mempunyai protokolnya tersendiri. Jika sistem perisian yang digunakan adalah sama, masalah timbul pula dengan perkakasan antaramuka (interface) atau perkakasan yang tidak boleh disambungkan pada perkakasan lain.
India mempelajari cara mengatasi masalah perbezaan sistem ini dengan beberapa cara sama ada secara yang dirancang mahupun kebetulan. Menurut Air-Marshal Subash Bhojwani yang merupakan pegawai pemerintah pusat latihan IAF pada 1994, India bernasib baik kerana ia mempunyai institusi penyelidikan dan pembangunan berkaitan ketenteraan yang bersifat progresif. Ini termasuklah dalam bidang platform, elektronik, IT (teknologi informasi) dan juga persenjataan. Selain itu industri perisian yang dihasilkan oleh India sendiri berada dalam keadaan yang amat baik dengan asas bekalan modal insan celik IT yang amat luas sekali. Satu lagi faktor yang mendorong kepada pembangunan teknologi platform, perkakasan dan perisian ini adalah akibat dari sekatan yang pernah dikenakan terhadap India. Bhojwani menegaskan bahawa tahap teknologi yang dimiliki oleh industri dan pihak IAF adalah amat membanggakan, contohnya sistem logistik bersepadu mengenai kesemua komponen bagi setiap pesawat dalam inventorinya, terdapat juga perisian yang mampu memantau kedudukan peluru berpandu di angkasa serta perisian pertahanan yang membolehkan pegawai pemerintah pertahanan udara melakukan perkiraan untuk mendapatkan masa pelancaran paling optima bagi memintas peluru berpandu tersebut. Kejayaan-kejayaan ini menurut beliau lagi masih belum boleh dianggap sebagai matang, kerana ia beroperasi secara berasingan atau autonomi dan tidak mampu dihubungkan melalui sistem data tanpa sempadan. Bagi melihat perkembangan ini diteruskan ketiga-tiga cabang tentera darat, laut dan udara India telah menubuhkan satu kumpulan kerja bersepadu yang menggabungkan tim IT dan NCW masing-masing untuk memastikan bahawa setiap sistem masa hadapan boleh diintegrasikan dalam satu sistem jaringan elektronik yang komprehensif.
Pendekatan yang dilakukan oleh India, terutamanya dalam membangunkan sistem berasaskan perisian dan perkakasan tempatan telahpun membuahkan hasil. Contohnya apabila India mula menggunakan sistem pesawat Mirage 2000 dari Perancis, mereka mendapati bahawa sistem komunikasi pesawat tidak dilengkapkan dengan sistem pertukaran data dan informasi atau ‘data bus’ yang lazimnya diguna pakai oleh pesawat-pesawat blok negara Barat iaitu sistem Amerika Syarikat Mil-Std-1553. Data bus adalah sistem yang membenarkan pemancaran dan penerimaan data, walaupun dari sumber yang berbeza bagi menghasilkan komunikasi dua hala yang pantas dan selamat. Perbandingan yang boleh dibuat mengenai sifat Data bus adalah sama sepertimana sistem LAN (Local Area Network) yang disambungkan antara komputer peribadi di dalam sebuah pejabat. Pesawat Mirage 2000 menggunakan sistem yang khusus keluaran Perancis iaitu Digibus GAM-T-101. Pesawat-pesawat yang diperolehi dari Rusia pula tidak langsung mempunyai sistem yang sedemikian rupa. Apa yang dilakukan oleh IAF ialah menukar paparan antaramuka Digibus agar ia boleh disesuaikan dengan sistem Mil-Std-1553, manakala sistem-sistem yang terdapat pada pesawat Rusia dipertingkatkan kemampuannya agar setiap pesawat kini mempunyai sistem yang serasi dengan Mil Std 1553. Walaupun sememangnya pada awal pengoperasinnya sistem-sistem ini bukanlah murah untuk direka bentuk dan menghadapi masalah tertentu, namun ia bukanlah sesuatu yang tidak boleh diatasi. Kemamampuan untuk menginte-grasikan pelbagai jenis platform yang dihasilkan dari sumber dan sistem berbeza adalah antara perkara yang dimiliki IAF yang dikagumi oleh banyak angkatan udara lain, termasuk Malaysia.
India mengambil pendekatan cuba membangunkan sistem NCW mengguna kepakaran, perisian dan perkakasan buatan tempatan. Ini kritikal kerana teknologi yang mahu diguna pakai ini dianggap sensitif dan mempunyai tahap kerahsiaan pengoperasian yang tinggi. Oleh yang demikian adalah lumrah bahawa jika ia mahu memperolehinya di pasaran terbuka, IAF harus bersedia untuk membayar pada harga premium. Oleh yang demikian mereka menetapkan bahawa penghasilan sistem sendiri adalah jalan yang terbaik. Air-Marshal Bhojwani juga percaya bahawa memulakan program NCW dalam masa yang agak terlewat berbanding negara-negara maju seperti Amerika Syarikat dan Eropah mempunyai kelebihannya tersendiri kerana IAF tidak lagi perlu melaksanakan progam dari peringkat sifat dan berkemampuan untuk mengadaptasikan sistem yang terbukti kematangan teknologinya mengikut kesesuaian sistem pengoperasian yang sesuai dengan doktrin dan taktik operasi udara IAF.
Apakah kita bersedia untuk lonjakan NCO? Pada temu bual dengan media elektronik pada 2008, Jeneral Tan Sri Azizan pernah menyatakan bahawa asas kepada sebuah angkatan udara yang kredibel adalah untuk membangunkan modal insannya secara sistematik dan dinamik yang akan menghasilkan keanggotaan yang berpengetahuan serta mempunyai kemahiran tinggi, yang tentunya pasti dapat memenuhi serta mengadaptasikan diri kepada perubahan dalam persekitaran pertahanan dan keselamatan sebilang masa. Secara peribadi beliau berpendapat bahawa trend peperangan udara masa hadapan akan didorong oleh oleh tahap teknologi ketenteraan yang sofistikated serta jati diri keanggotaan yang memainkan peranan kritikal untuk mempastikan kejayaan akan sentiasa dapat dicapai dalam nama-mana kempen peperangan udara. Tidak ada sektor yang bakal memerlukan keupayaan modal insan pada peringkat paling tertinggi jika dibandingkan dengan keperluan penguasaan ilmu IT sekiranya NCO/NCW hendak dibangunkan sendiri oleh TUDM.
Lonjakan yang dilihat berkemungkinan besar mampu merealisasikan hasrat PTU ialah sekiranya perolehan pesawat amaran awal dan arahan serta kawalan (AEW&C). Ini kerana jika pesawat yang sedemikian wujud dalam inventori organisasi tersebut, maka ia boleh dijadikan sebagai induk kepada percubaan pesawat-pesawat TUDM menguji sistem NCOnya. Menurut beliau lagi, TUDM sejak dari awal lagi telah meletakkan kepentingan memiliki pesawat AEW&C sebagai sebahagian dari platform operasinya. Malah ia merupakan pelan jangkamasa panjang TUDM dan perolehan ini telah dibincangkan pada Rancangan Malaysia Kesembilan (RMK-9) dan pada perbincangan separuh penggal RMK-9, perolehan tersebut diletakkan sebagai yang paling utama berbanding program atau projek lain. Walaupun demikian kesemuanya ini terus bergantung kepada kemampuan keewangan pihak Kerajaan dan jika keadaan ekonomi global terus menunjukkan kelembapan, sekali lagi perolehan ini mungkin bakal tertangguh lagi. Apapun ruang kelewatan ini sepatutnya dimanafaatkan oleh pihak TUDM untuk terus mempertingkatkan penguasaan ilmu pegawai dan anggotanya dalam menguasai sistem dan perkakasan berkaitan NCO/NCW. Ini dapat ditimba dalam latihan-latihan bersama seperti CARAT dan FPDA yang di adakan saban tahun di negara ini.
Salah satu harapan yang pernah disuarakan oleh Jeneral Tan Sri Azizan Ariffin ialah mengenai bagaimana perkembangan teknologi rangkaian pemusatan maklumat sektor komersial yang kini pesat di bangunkan di koridor multimedia dapat dimanafaatkan oleh sektor ketenteraan dalam usaha membina sistem NCOnya. Seperti juga Air Marshal Bhojwani, PTU percaya pembangunan NCO haruslah dilaksanakan oleh industri tempatan. Apa yang bakal menimbulkan kegusaran ialah keupayaan modal insan dan industri tempatan mungkin tidak mencapai tahap yang sepatutnya dan dalam hal ini perkara yang lazimnya berlaku ialah sebahagian dari teknologi dan pengetahuan NCO/NCW akan terpaksa di tiru atau di’ciplak’ dengan kebenaran dari pihak pengeluar asal serta OEM (Original Equipment Manufacturer) atau dari angkatan tentera negara-negara maju. Dalam keadaan inipun akan timbul persoalan iaitu sejauh manakah kejujuran pemindahan teknologi NCO/NCW yang sanggup diberi oleh negara maju kepada negara-negara membangun dan apakah negara-negara penerima sendiri mempunyai modal insan dan keuupayan industri untuk menyerap apa yang mahu disampaikan?
CABARAN GBAD GBAD (Ground Based Air Defense) adalah akronim yang bermaksud sistem pertahanan pesawat udara dari tapak pelancar bumi. Istilah GBAD mungkin adalah sesuatu yang jarang didengar oleh umum yang mungkin lebih mengetahui mengenai satu lagi kumpulan artileri pertahanan udara, iaitu yang dimiliki oleh pasukan Tentera Darat Malaysia (TDM) dikenali sebagai GAPU (Grup Artileri Pertahanan Udara). Walaupun menurut Konsep Pertahanan Udara Nasional, TUDM dipertanggungjawabkan terhadap keseluruhan pertahanan ruang udara, namun boleh dikatakan hampir keseluruhan perolehan sistem-sistem pertahanan udara yang telah dilaksanakan oleh pihak ATM adalah berpaksikan kepada kehendak dan keperluan perlindungan udara oleh pihak TDM.
Ini merangkumi sistem meriam penangkis Oerlikon 35mm, sistem pelancar peluru berpandu aras amat rendah (VSHORAD – Very Short Range Air Defense) Starburst, Igla dan juga Anza Mk II serta sistem JERNAS. Kesemua sistem yang dilancarkan dari tapak pelancar bumi yang telah diperolehi oleh pihak ATM adalah untuk jarak aras rendah sahaja.
Sehingga kini sistem pertahanan udara dari tapak pelancar bumi yang dimiliki oleh pihak TLDM dan juga TUDM hanyalah berupa sistem Starburst. Ini berbeza dengan kemampuan sistem tapak pelancar platform bagi kedua-dua cabang laut dan udara yang mampu menjangkau sehingga jarak sederhana dalam bentuk peluru berpandu kapal ke pesawat seperti Aspide dan juga pesawat ke pesawat seperti R-77 dan AIM-120.
Latarbelakang Apabila Malaya mencapai kemerdekaannya pada 1957, pihak British telah bersetuju untuk memberikan payung perlindungan pertahanan yang dimeterai dalam perjanjian dua hala yang dinamakan sebagai AMDA (Anglo-Malayan Defense Agreement). Apabila Malaysia dibentuk pada 1963, nama Malaya telah ditukarkan kepada Malaysia. Apabila pihak British mengambil keputusan untuk mengundurkan pasukan tenteranya dari Asia Tenggara pada 1967, perjanjian persefahaman pertahanan ini digantikan dengan perjanjian FPDA (Five Power Defense Agreement) yang menyaksikan Britain, Australia, New Zealand, Singapura dan Malaysia bersetuju untuk bergabung kekuatan ketenteraan sekiranya Malaysia dan Singapura diancam oleh kuasa luar melalui cara kekerasan. Bagi tujuan memberikan payung perlindungan udara kepada kedua-dua negara, FPDA telah bersetuju untuk membentuk apa yang dinamakan sebagai IADS (Integrated Air Defense System) pada Februari 1971 yang berpangkalan di Butterworth, Pulau Pinang. IADS mempunyai peranan untuk mengkoordinasikan kesemua hal berkaitan pertahanan udara sekiranya tercetus konflik di kedua-dua negara akibat dari pencerobohan pesawat luar. Oleh kerana Malaysia tidak mempunyai sebarang pesawat bagi tujuan pertahanan udara, pihak tentera udara Australia telah menempatkan dua skuadron pesawat Mirage III di pangkalan Butterworth.
Pengunduran pihak British dari AsiaTenggara telah memberikan kesan yang negatif kepada sistem pertahanan udara Malaysia (walaupun kemudiannya diwujudkan IADS), berbanding Singapura. Pihak Singapura telah ‘mewarisi’ hampir keseluruhan sistem pertahanan udara British yang dianggap kredibel ketika itu. Ini termasuklah sistem radar pertahanan udara di Bukit gombak, dua skuadron pesawat Hunter, sistem peluru berpandu jarak sederhana Bloodhound serta kemudahan-kemudahan lain berkaitan sistem pertahanan udara di lapangan terbang Tengah dan Paya Lebar. Bagi Malaysia hanya sebuah radar pengawasan udara di Western Hill, Pulau Pinang sahaja yang mampu menyokong operasi anti-pesawat udara.
Sistem pertahanan udara negara atau TUDM hanya mula membangunkan kemampuan pertahananya dengan serius apabila Tun Abdul Razak dilantik sebagai Perdana Menteri Malaysia yang baru pada tahun 1971. Pada ketika itu Kerajaan telah membeli tiga sistem radar Marconi S-600 yang di pasang di Butterworth, Pulau Pinang (bagi menggantikan radar di Western Hill), Jugra, Selangor dan juga Kuantan, Pahang. TUDM juga telah memprolehi 16 pesawat tempur berenjin jetnya yang pertama apabila pihak tentera udara Australia memberikan beberapa buah pesawat Sabre terpakai. Pesawat-pesawat ini membentuk Skuadron 11 yang berpangkalan di Kuantan. Perolehan kemudiannya dibuat dengan membeli 20 buah pesawat Canadair CL-41G dari Kanada yang pada asalnya adalah merupakan pesawat latihan yang dipertingkatkan kemampuannya untuk dijadikan pesawat serangan darat. Pesawat-pesawat ini dioperasikan oleh Skuadron ke 5 dan Skuadron ke 9. Peningkatan keupayaan pertahanan ini diteruskan menjelang pertengahan tahun 1970an apabila pada 1975, TUDM mula menerima pesawat pertama dari sejumlah 16 buah pesawat F-5E Tiger yang merupakan pesawat supersonik pertama yang dipoperasikan oleh cabang pertahanan udara negara.
Pada penghujung tahun 70an, satu keputusan telah dipersetujui oleh pihak Kerajaan dalam membina satu pelan jangka panjang berkaitan dengan sistem pertahanan udara negara. Sistem ini dinamakan sebagai NADS (National Air Defense System) yang merupakan sistem yang boleh diintegrasikan dalam pelan pertahanan ruang udara negara bersama-sama sistem IADS sekiranya diperlukan. NADS adalah bertanggungjawab sepenuhnya kepada Panglima Angkatan Tentera dan Panglima Tentera Udara dipertanggungjawabkan pula sebagai ketua operasi pertahanan udara negara, manakala Panglima Tentera Darat dan Panglima Tentera Laut pula ditugaskan untuk membangunkan aset dan keupayaan operasi anti-pesawat udara masing-masing berasaskan kepada pelan pembangunan keupayaan yang telah dipersetujui.
Konsep operasi NAD adalah merupakan benteng pertahanan udara yang berlapis dengan tiga lapisan utama. Lapisan pertama adalah merupakan lapisan paling luar yang merangkumi kawasan am sekitar kawasan Zon Ekonomi Eksklusif (ZEE). Lapisan kedua pula adalah kawasan yang merangkumi di dalam kawasan ZEE sehingga keseluruhan ruang udara negara dan lapisan ketiga atau terakhir adalah merupakan pertahanan statik bagi melindungi aset atau platform fizikal yang mempunyai kepentingan ketenteraan, strategik dan ekonomi. Bagi mencapai hasrat memberikan perlindungan kepada tiga ruang atau lapisan pertahanan udara NADS ini, pihak ATM telah mengklasifikasikan jenis sistem atau platform persenjataan bagi menangani ancaman pesawat udara kepada tiga jenis mengikut ketinggian kawasan. Ianya adalah amat tinggi (high), sederhana (medium) dan rendah serta amat rendah (low & very low). Kawasan beraltitud tinggi atau amat tinggi adalah merupakan tangunggjawab pesawat tempur dan pemintas. Jarak sederhana bakal ditangani oleh kombinasi antara pesawat udara dan juga sistem-sistem peluru berpandu jarak sederhana, jarak aras rendah pula adalah gabungan pesawat, peluru berpandu jarak aras rendah atau SHORAD dan meriam penankis, manakala jarak amat rendah adalah bagi sistem peluru berpandu pelancaran aras bahu (MANPADS) serta meriam penangkis pesawat udara.
Peningkatan secara berterusan bagi memperkasakan kemampuan pertahanan udara diteruskan apabila pada 1985, TUDM memulakan operasi sistem pertahanan udara berautomasi yang dinamakan sebagai MADGE (Malaysian Air defense Ground Environment). Sistem ini menggunakan keupayaan perkakasan dan perisian HADR yang dihasilkan oleh Raytheon (Hughes) bagi membolehkan pegawai pemerintah TUDM mendapatkan gambaran dalam masa sebenar mengenai apa yang berlaku diruang angkasa negara dan kawasan sekitar dalam masa sebenar. Dengan mempunyai maklumat sedemikian di dalam tangan, mereka boleh mengarahkan pesawat-pesawat pemintas untuk menghalang sebarang pencerobohan ruang angkasa negara sekiranya pesawat yang dikesan dianggap sebagai satu ancaman. Sistem MADGE akan menghantar kesemua maklumat dan data ke sebuah pusat arahan di mana data-data tersebut diperoses oleh sistem komputer dan dipaparkan pada skrin bagi tujuan pemerhatian. Komander atau pegawai pemerintah pertahanan udara mampu berkomuniaksi dengan unit-unit pertahanan udara di seluruh negara bagi melaksanakan operasi atau bersiap sedia untuk menangkis serangan yang dijangka berlaku terhadap posisi yang dikawal mereka. Sistem MADGE dibina bagi menggantikan sistem radar pengawasan Marconi S-600 yang mula diguna pakai oleh negara sejak 1971.
Sama ada disengajakan atau tidak, pengukuhan kekuatan sistem pertahanan udara bagi ketiga-tiga cabang perkhidmatan seakan berlaku secara berasingan. Jika dilihat kepada sejarah pembangunan sistem pertahanan udara bagi TUDM, keutamaan diberikan kepada kemampuan pertahanan jarak jauh iaitu dengan memperolehi sistem pesawat yang boleh dilengkapkan dengan sistem peluru berpandu udara ke udara. Ini termasuklah pesawat MiG-29N Fulcrum, Boeing F/A-18D Hornet serta paling terkini pesawa Su-30MKM Sukhoi. Selain itu pesawat seperti BAE Hawk Mk208 dan 108, walaupun ditugaskan sebagai pesawat bantuan tembakan bagi menyokong operasi di darat, turut boleh dipasangkan dengan sistem peluru berpandu udara ke udara sekiranya diperlukan bagi memenuhi misi pertahanan udara. Pada awalnya pesawat-pesawat TUDM mempunyai inventori sistem peluru berpandu jarak dekat yang konvensional seperti AIM-9 Sidewinder dan Vympel R-73, namun hari ini dengan peningkatan pemodenan platform dan tekanan geo-strategik, peluru berpandu yang lebih berkemampuan seperti AIM-120 dan R-77 dengan jarak yang lebih jauh serta daya manuver lebih lincah, selain dari kemampuan kalis penyerakan elektronik yang lebih tinggi.
Perolehan pesawat Su-30MKM pada tahun lalu serta kehendak TUDM untuk memprolehi pesawat F/A-18F Super Hornet seperti yang dinayatakan oleh PTU adalah satu lagi langkah yang dianggap akan terus memberikan sistem pertahanan udara jarak jauh kemampuan yang lebih jitu. Pada masa sama pihak TUDM mempertingkatkan daya platform udara bagi pertahanan jarak jauh, TDM pula mengorak langkah seiring, tetapi dalam platform permukaan bumi atau GBAD. Sistem peluru berpandu pertahanan udara Starburst adalah sistem pertama yang digunakan, selain dari sistem meriam Oerlikon 35mm. Perolehan-perolehan lain yang turut dilakukan adalah sistem peluru berpandu IGLA dan Anza MkII, kesemuanya adalah merupakan sistem pelancar peluru berpandu aras amat rendah yang dioperasikan dari bahu. GAPU pada tahun April 2002, turut membeli sistem pelancar jenis JERNAS yang merupakan sistem peluru berpandu jarak rendah yang mempunyai kemampuan pertahanan udara yang lebih mantap berbanding sistem pengoperasian pelancar dari tahap bahu. JERNAS dengan sistem radar penjejak Blindfire dan radar pemantau Dagger, telah ditauliahkan dalam perkhidmatan pada 2006. Hari ini ia adalah merupakan sistem GBAD yang paling berkemampuan dalam inventori ATM namun dengan jarak jangkauan hanya lapan kilometer, ia masih dianggap sebagai mempunyai kemampuan yang agak terhad, terutama daripada sistem-sistem peluru berpandu pesawat udara ke permukaan bumi yang mempunyai jarak selamat pelancaran ke sasaran (stand-off) yang sederhana dan jauh.
Apa yang mungkin jarang diperjelaskan kepada umum ialah berbanding TDM dan TLDM, pihak TUDM yang mengikut pelan pertahanan udara nasional, adalah cabang ketenteraan yang mengepalai NADS, merupakan pihak yang agak ‘tertinggal’ dalam kemampuan dan perolehan sistem pertahanan udara bercorak GBADnya. Ia bukan sahaja tidak mempunyai sebarang sistem meriam penangkis pesawat udara, malah sistem peluru berpandu GBAD yang dimilikinya hanyalah berupa sistem peluru berpandu paling awal yang diguna pakai oleh TDM, iaitu sistem Starburst, yang juga diguna pakai oleh unit pertahanan udara TLDM.
GAPU & GBAD Salah satu perkara yang sering disalah faham oleh banyak pihak ialah oleh kerana laporan media, baik cetak mahupun elektronik, kerap mengaitkan perolehan dan pembelian sistem-sistem GBAD dengan unit GAPU, maka banyak pihak berpendapat bahawa perolehan dan arahan serta kawalan unit-unit pertahanan udara dari permukaan bumi adalah di bawah unit artileri tentera darat. Apa lagi jika dilihat kelengkapan dan peralatan yang ditonjolkan mengenai sistem pertahanan udara permukaan bumi oleh media dalam latihan adalah dibawah kawalan anggota-anggota unit TDM. Ini termasuklah meriam Oerlikon 35mm. Peluru berpandu Starburst, IGLA dan JERNAS oleh pihak GAPU dan Anza MkII oleh unit 10 Briged Para. Selain itu GAPU juga dikatakan bakal menerima satu lagi sistem pelancar tahap bahu dari China, iaitu sistem FN-6. Bagi unit-unit pertahanan udara TLDM dan TUDM, kelibat mereka jarang-jarang sekali di ketengahkan dan sistem Starburst adalah satu-satunya sistem yang dimiliki mereka. Selain itu istilah GBAD itu sendiri dengan ‘G’ membawa makna kepada ‘Ground’ atau permukaan bumi turut memberikan gambaran yang agak mengelirukan.
Persepsi ini dijangka akan berubah apabila ATM bakal mengorak langkah untuk cuba memenuhi kehendak GBAD yang selama ini terabai, iaitu sistem peluru berpandu jarak sederhana. Pada awalnya banyak pihak turut menyangka bahawa perolehan sistem tersebut akan dilaksanakan oleh GAPU. Namun sistem sedemikian lebih rumit pengoperasiannya dengan sistem radar pengesan, pemantau dan penjejak yang lebih komprehensif. Oleh itu tentu sahaja ia lebih sesuai atau ‘mudah’ dioperasikan oleh pihak TUDM. Selain itu memandangkan sistem peluru berpandu tersebut akan lebih kerap memasuki ‘ruang udara’ di mana pesawat-pesawat tempur bakal beroperasi dalam konflik, maka penyelarasan frekuensi komunikasi antara pesawat ke pesawat dan ke pusat kawalan, sistem pengesan pesawat kawan atau lawan (IFF- Identification Friend or Foe) dan perkiraan keadaan yang tepat tentunya bakal lebih releven sekiranya dilakukan oleh individu dari cabang pertahanan yang sama. Ini akan memudahkan perhubungan dua hala, mengelakkan kekeliruan, tidak perlu mengubah perintah tetap disamping mengekalkan hirarki arahan serta kawalan yang lebih teratur dan sistematik di dalam hanya satu cabang agensi pertahanan.
Persoalan mengenai sistem manakah yang bakal diguna pakai oleh pihak TUDM bagi GBAD jarak sederhana terus kekal menjadi satu teka teki yang sukar untuk dijawab. Pada awal tahun 2000, terdapat beberapa sistem yang kerap dikaitkan dengan program perolehan tersebut. Ianya adalah sistem Buk M-1 dari Rusia dan sistem KS-1A dari China. Lebih mencelarukan keadaan ialah bagaimana firma-firma yang mewakili pengeluar sistem tersebut agak kerap mengeluarkan kenyataan akhbar menyatakan bahawa Malaysia telah bersetuju pada dasarnya untuk memilih produk mereka. Sehingga hari untuk mencongak sistem pertahanan jarak sederhana apakah yang bakal diperolehi oleh TUDM untuk mengisi kekosongan sistem GBAD tersebut tidak dapat dikenal pasti. Salah satu andaian yang dapat dibuat ialah kemungkinan jalan ke hadapan dalam sistem melengkapkan perkakasan, perisian dan platform GBAD bagi TUDM mempunyai kaitan langsung dengan sistem NCO/NCW yang akan diguna pakai bagi tujuan operasi masa hadapan.
NCO/NCW & GBAD – Bagai aur dengan tebing TEMPUR merasakan selagi teka-teki mengenai arah hala tuju sistem NCO/NCW tidak terjawab oleh pemikir-pemikir dasar TUDM maka selagi itulah sistem GBAD atau sistem NADS negara akan berada dalam keadaan seakan tidak lengkap. Ini kerana bagi menyempurkan mana-mana sistem pertahanan udara yang lengkap dan jitu, apa yang paling utama ialah sistem arahan dan kawalan, dari penderia kepada pemusnah mestilah dapat dilaksanakan dengan pantas, dalam masa sebenar dan mampu menembusi kabus medan peperangan (fogs of war) moden hari ini. Bagi mencapai hasrat ini, tidak dapat tidak TUDM perlu mewujudkan satu sistem NCO/NCW yang boleh diharap untuk berfungsi sebilang masa.
Kempen peperangan moden hari ini telah membuktikan bahawa tanpa sistem NCO/NCW yang efektif, adalah sukar bagi sesebuah negara untuk melaksanakan kempen operasi peperangan udara yang berkesan. Bagi Jeneral Tan Sri Azizan Ariffin, TUDM kini berada di satu persimpangan yang amat kritikal, terutamanya dengan perolehan aset-aset yang dianggap mempunyai potensi kemampuan operasi yang amat tinggi seperti pesawat Su-30MKM. Sebagai pesawat tempur pelbagai fungsi, Su-30MKM dengan sistem tujahan vektor dan sirip hadapan mampu melaksanakan manuver yang begitu mengkagumkan. Ia juga mempunyai sistem radar dan persenjataan yang setara dengan pesawat-pesawat tempur negara maju. Walaupun begitu seperti mana yang telah ditonjolkan dalam rencana ini, mempunyai satu platform yang begitu gah, tetapi hanya mampu beroperasi secara bersendirian tidak akan memberikan banyak makna kepada pertahanan sebuah negara, ia boleh diibaratkan seperti pepatah Melayu ‘menang sorak kampung tergadai’, iaitu kita hanya gah mempunyai platform yang tercanggih dan begitu teruja dengannya, namun apabila berlaku persengketaan, akibat dari ketiadaan sistem sokongan yang mantap, platform tidak dapat dioptimakan kemampuannya. Selain itu kedua cabang tentera darat dan laut juga sedang dan akan memperolehi sistem platform dan persenjataan yang lebih canggih, dengan umpamanya penerimaan kereta kebal PT-91M dan juga bagi tentera laut, kapal selam Kelas Tunku Abdul Rahman. Kesemua asat-aset tesebut telah dan bakal mempunyai sistem kuasa tembakan dan daya manuver yang dominan di medan tempur masing-masing. Apa yang paling diperlukan ialah satu ‘ikatan’ yang akan dapat memberikan mereka kemampuan berinteraksi dan saling membantu ketika operasi peperangan agar kelancaran operasi bersepadu akan dapat dilaksanakan dengan efektif dan ini termasuklah juga hubungan komunikasi dan data dengan pesawat-pesawat TUDM. Ikatan yang paling kukuh dilihat ialah dari satu platform NCO/NCW yang berkemampuan tinggi (tidak semestinya terhad kepada platform udara sahaja). Tentunya kita tidak mahu setiap cabang ATM menerima nasib yang sama seperti ketumbukan tentera Iraq ketika Perang Teluk I, dalam apa yang diklasifikasikan oleh pihak kepimpinan tentera Amerika ketika itu sebagai ‘seorang peninju buta’. Ini kerana apabila pihak Amerika telah memutuskan hubungan komunikasi dan data antara unit operasi dengan hirarki kepimpinan serta arahan dan kawalan, disamping setiap cabang dipaksa untuk beroperasi secara sendirian, maka sebuah angkatan tentera yang begitu besar, mempunyai pengalaman bertahun-tahun dalam perang konvensional Iran/Iraq, tersungkur dengan begitu mudah dan mengaibkan.
Bagi pihak TEMPUR, ikatan operasi bersama yang paling releven kepada ATM atau TUDM (yang bertindak mengepalai NADS) adalah sistem atau platform AEW&C. Tentunya umum mengetahui bahawa dalam beberapa tahun kebelakangan ini, setiap kali pameran pertahanan seperti LIMA dan DSA diadakah maka salah satu soalan yang paling kerap diajukan oleh pihak media dan umum kepada TUDM ialah bilakah negara bakal mempunyai pesawat AEW&Cnya tersendiri. Apa lagi apabila Panglima Angkatan Tentera, jeneral tan Sri Abdul Aziz Zainal pernah menyuarakan bahawa sejak lebih dari 10 tahun lalu, keperluan untuk memiliki pesawat AEW&C sememangnya wujud, namun halangan keewangan telah memaksa perolehan tersebut terus ditangguhkan. Malah walaupun tidak dapat disahkan, namun sebuah akhbar Sweden, ‘Dagens Industri’ pernah menyiarkan berita bahawa menurut Naib Presiden firma Saab, TUDM telah bersetuju pada dasarnya untuk memperolehi empat buah pesawat yang dipasangkan dengan sistem Radar Erieye dari firma tersebut, namun apa yang masih tertangguh ialah kontrak rundingan dan penetapan harga akhir. Dianggarkan bahawa keempat-empat pesawat serta sistem radar dan khidmat sokongan yang bakal diperolehi oleh Malaysia akan menelan belanja hampir kepada tujuh bilion USD. Sekali lagi jika apa yang dilaporkan oleh akhbar Sweden tersebut bakal menjadi kenyataan maka dijangka TUDM bakal memperolehi cebisan yang paling utama dalam ‘jig-saw puzzle’ yang selama ini dirasakan begitu sukar untuk dilengkapkan. Ia juga bakal membolehkan apa yang selama ini benar-benar diperlukan oleh TUDM dalam melaksanakan sistem pertahanan ruang angkasa negara yang menyeluruh bersesuaian dengan dasar NADS negara diimplementasikan.
Penangguhan akibat keadaan keewangan negara yang sehingga kini telah menyebabkan perolehan ini tidak menjadi kenyataan, namun ia tidak bermakna ATM amnya atau TUDM khususnya mengambil sikap lewa terhadap pembangunan keupayaan GBAD negara. Umpamanya pihak Kerajaan telah menandatangani perjanjian dengan firma ThalesRaytheon pada awal tahun lalu untuk mempertingkatkan kemampuan sistem pertahanan udara MADGE sedia ada. Antara yang bakal dilaksanakan adalah mewujudkan satu lagi markas sektor operasi atau SOC (Sector Operation Center) yang melibatkan pemasangan sebuah sistem radar jarak jauh yang baru. Sistem radar digital ini dipercayai dari jenis sistem siri Master-T yang mampu mengawasi jarak tinggi, sederhana dan juga rendah dengan efektif terhadap sebarang pencerobohan ruang udara negara di sektor yang telah ditentukan. Radar tersebut dikatakan mempunyai tahap pengoperasian yang baik untuk diguna pakai dalam persekitaran negara yang bersifat tropikal dan pada masa sama perlu beroperasi secara serentak mengawasi kawasan berbukit bukau, pesisir pantai serta permukaan laut. Sistem SOC pula akan menggunakan variasi dari sistem ‘Sentry Air Defence Ground Environment System’ yang dibangunkan oleh cabang ThalesRaytheon yang beroperasi di Fullerton, California. Sistem Sentry ini adalah merupakan sistem asas sama yang digunakan oleh pihak tentera udara Amerika dan Kanada bagi tujuan sistem kawalan tempur bagi pertahanan ruang udara benua Amerika Utara.
Selain itu pada 2005 Malaysia turut membeli dua sistem radar TRML-3D dari firma EADS. Sistem tersebut adalah merupakan sistem radar bersifat autonomi bermobiliti tinggi. Ia dipasangkan pada kenderaan khas dan mampu mengawasi jarak ruang udara menjangkau 200km bagi mengesan sasaran seperti pesawat bersaiz kecil yang terbang rendah dan laju, peluru berpandu serta helikopter. Walaupun bersifat autonomi dalam pengoperasinnya, sistem TRML-3D boleh diintergrasikan dalam sistem amaran awal, sistem kawalan ruang khusus (gap-filler) atau sistem jaringan pertahanan udara yang lebih besar. Bagi ATM, sistem ini dikendalikan oleh unit GAPU bagi memberikan amaran awal yang lebih jauh kepada sistem seperti JERNAS.
Dengan kemungkinan perolehan pesawat AEW&C bakal dilaksana tidak lama lagi dan sistem-sistem berkaitan penderia seperti radar dan pusat arahan serta kawalan kawasan dipertingkatkan, langkah yang berikutnya adalah untuk terus membangunkan modal insan serta kemampuan industri berkaitan pertahanan dan IT tempatan untuk menyahut cabaran yang lebih tinggi. Proses integrasi dan asimilasi yang amat kritikal dalam jaringan NCO/NCW tentunya memerlukan pengubahsuaian yang sepatutnya bagi memberikan tahap keselamatan dan kerahsiaan, jika tidak keseluruhan, bahagian-bahagian yang kritikal dalam sistem NCO/NCW tersebut. Ini sudah pasti mesti dilaksanakan oleh anak-anak tempatan agar kunci kepada sistem pertahanan angkasaraya negara kekal selamat. |
|
Last Updated ( Friday, 05 June 2009 )
|
|
Our Partners
|