|
Pertandingan IPSC Piala Menteri Dalam Negeri |
|
|
|
Backdated Issues 2009 -
July 2009
|
|
Written by Zuridan Bin Muhammad
|
|
Friday, 05 June 2009 |
|
Pada 13 Jun yang lalu, selama empat hari berturut-turut, buat pertama
kalinya telah diadakan pertandingan atau kejohanan menembak IPSC
(International Practical Shooting Confederation) terbuka dan khusus
yang dianjurkan oleh Unit Tindak Khas atau UTK. Ianya bagi merebut
johan Pertandingan Terbuka UTK, dan dua piala khusus, iaitu Piala
Menteri Dalam Negeri dan Piala Komandan UTK.
Kejohanan yang diadakan di Lapang Sasar IPSC Briged tengah, Cheras, Kuala Lumpur dibahagikan kepada tiga kategori yang dipertandingkan, iaitu terbuka UTK, yang merupakan acara yang boleh disertai oleh anggota-anggota Polis DiRaja Malaysia (PDRM), orang awam dan juga anggota tentera, Piala Menteri Dalam Negeri yang dikhususkan pesertanya kepada anggota-anggota PDRM sahaja dan akhir sekali Piala Komandan UTK yang merupakan pertandingan antara anggota-anggota dan pegawai UTK sahaja.
Walaupun kejohanan bagi merebut Piala Komandan UTK adalah merupakan kejohanan kali yang kelima, namun bagi Piala menteri Dalam negeri, ia adalah yang kali pertama.
Menurut Pengarah kejohanan, Asisten Supertinden Mohamad Suzrin Mohammad Rodhi, seramai 327 peserta telah mengambil bahagian yang melibatkan 71 buah pasukan pelbagai. Ini termasuklah dari unit dan cawangan PDRM sendiri, pihak rejimen Gerak Khas dan wakil-wakil kelab menembak dari seluruh negara. Terdapat 12 tahap/lorong atau gelanggang yang harus dilalui oleh setiap peserta serta tim yang bertanding dan selain melibatkan penggunaan sistem pistol serta kemahiran penggunaan yang baik, peserta juga akan diuji dalam tahap kecekapan lain, seperti pengendalian penukaran kelopak, pergerakan fizikal selamat dan juga kemampuan menghadapi tekanan masa. Tahap kesukaran gelanggang yang mesti ditangani oleh peserta juga adalah berbeza dan dikategorikan kepada tiga jenis gelanggang, iaitu panjang (long course), sederhana (medium) dan pendek (short). Kesemua peserta dikehendaki menggunakan sistem peluru pistol berkaliber sama iaitu 9 x 19mm.
Apa yang unik mengenai pertandingan anjuran UTK tahun ini ialah perhatian yang turut diberikan oleh Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Hishamuddin Tun Hussein kepada acara tersebut dan kehendak beliau agar Kementerian Belia dan Sukan menimbangkan untuk menjadikan acara IPSC sebagai salah satu acara sukan yang diiktiraf oleh kementerian tersebut dalam kalender sukan tahunannya. Bagi Pengarah UTK, salah satu sebab kenapa penganjuran kali ini dilaksanakan dengan lebih besar ialah bagi merealisasikan hasrat untuk mempromosikan IPSC sebagai salah satu cabang sukan yang diperakui secara global. Sekain dari itu memandangkan sukan ini melibatkan penggunaan pistol dan peluru hidup, ia secara langsung dapat memberi dan menambahkan keyakinan kepada para anggota dan pegawai-pegawai PDRM dari seluruh negara mengenai cara-cara dan ciri penggunaan dan pengendalian senjata api yang selamat serta berkesan. Memandangkan UTK adalah antara organisasi yang berpengalaman luas dalam menganjurkan sukan tersebut, maka menurut beliau lagi UTK kini mengambil cabaran untuk menjemput kesemua kontijen-kontijen utama PDRM dan mendedahkan anggota dan pegawai yang berminat dalam sukan tersebut untuk mengambil bahagian. Objektif utamanya ialah agar pengetahuan dan pengalaman mengenai IPSC yang dapat diterima atau ditimba oleh anggota-anggota kontijen seluruh negara ini akan membolehkan setiap kontijen untuk menubuhkan pasukan IPSC di tempat masing-masing. Sekiranya berjaya dilaksanakan dan sukan ini dipupuk dengan cemerlang, terutamanya jika ia turut melibatkan Kementerian Belia dan Sukan, maka tidak mustahil bahawa penembak-penembak IPSC PDRM bakal menggegarkan pentas dunia di suatu masa nanti. Ini bukanlah satu perkara yang mustahil kerana dalam sukan-sukan yang meletakkan individu untuk bertanding tanpa pertembungan fizikal dengan pihak lawan, dan lebih kepada faktor kesempurnaan pergerakan individu serta kejituan minda, atlit-atlit negara dalam acara seperti badminton, bowling dan skuasy telah membuktikan bahawa memegang tampuk gelaran johan dunia bukanlah satu perkara yang mustahil.
Dari segi faedah yang dapat diperolehi oleh anggota dan pegawai PDRM pula, sukan IPSC dilihat akan dapat memupuk kaedaan pengoperasian pistol yang diangggap dapat memberikan sumbangan terus kepada perkembangan dan kemampuan penggunaan jitu. Antara yang paling utama ialah kepantasan dalam melaksanakan penembakan dan tahap ketepatan yang mampu diperolehi dalam masa singkat. Selain itu keyakinan diri yang tinggi juga akan dapat dicapai terhadap kemampuan penggunaan pistol individu sekiranya beliau cemerlang dalam sukan IPSC. Ini kerana teknik-teknik asas yang diguna pakai ketika bertanding dalam pertandingan IPSC mempunyai persamaan atau relevan kepada senario penggunaan pistol ketika operasi yang bakal dihadapi oleh anggota dan pegawai PDRM dalam tugas harian mereka.
Umum mungkin kurang arif dengan sukan ’unik’ ini kerana akses yang amat terhad kepada penggunaan senjata api, terutamanya pistol akibat kekangan-kekangan tertentunya, khususnya yang berkaitan dengan undang-undang. Namun kesemua perkara ini mungkin tidak lagi akan menjadi satu halangan besar sekiranya pihak Kementerian Belia dan Sukan bersetuju untuk menggembeling tenaga bagi membuka peluang yang lebih luas kepada umum melalui program-program sukan khusus seperti IPSC. Selain itu sukan ini juga mungkin boleh dikembangkan sebagai sukan kelab-kelab khas di kalangan murid-murid sekolah seperti Kadet Polis, Kadet Remaja mahupun pasukan simpanan.
Latarbelakang IPSC Pertandingan pistol yang melibatkan pergerakan atau sistem ’bukan tradisional’ berlawanan sepertimana yang lazimnya dilakukan pada sukan olimpik telahpun mula popular semenjak tahun 1950an lagi, terutamanya di Amerika Syarikat dan Eropah Barat. Pada awalnya pertandingan lebih melibatkan persaingan antara peserta untuk mengeluarkan pistol dan sarungnya dan menembak ke arah sasaran tertentu ala-koboi atau perlawanan ’draw’ sepertimana yang dipopularkan oleh siri atau tayangan filem koboi keluaran Hollywood. Sukan ini menjadi bertambah popular dan pada 1976, penggemar-penggemar sukan ini telah mengadakan satu perjumpaan di Columbia, wilayah Missouri, Amerika Syarikat dan bersetuju untuk menubuhkan sebuah organisasi yang bakal menyelaraskan kesemua aspek berkaitan sukan tersebut. Ini termasuklah sistem senjata, kelas dan jenis pertandingan, sistem pemarkahan dan peraturan. Asas kepada sukan ini adalah untuk melihat sistem kelengkapan dan teknik apakah yang paling sesuai dalam situasi mirip kepada mempertahankan diri menggunakan pistol melalui siri pertandingan berkonsepkan sukan. Organisasi yang bakal diamanahkan untuk mengendalikan sukan ini secara global dinamakan sebagai IPSC, manakala di negara-negara di mana terdapat cabang persatuan tersebut, nama yang dipilih adalah bergantung kepada kehendak persatuan itu sendiri. Di Amerika Syarikat umpamanya, pada 1984, persatuan IPSC wilayah Amerika Syarikat telah dinamakan sebagai USPSA atau ’United States Practical Shooting Association’. Di Amerika Syarikat gelanggang IPSC kerap dijadikan sebagai ujian untuk melihat sama ada sesuatu sistem pistol mempunyai kemampuan untuk dioperasikan secara praktikal dalam situasi ’pertempuran’ yang mengkehendaki pengendali-nya melakukan penembakan dan pengendalian pistol dalam keadaan tertekan serta dalam jumlah tembakan yang banyak secara berturut-turut. Malah beberapa ciri penembakan dan pengoperasian pistol yang dilakukan dalam IPSC telah turut dijadikan piawaian kepada sesetengah unit tentera dan polis di negara tersebut untuk melihat keberkesanan senjata mahupun teknik penembakan yang digunakan. Malah bukanlah menjadi kejutan bahawa sebahagian besar dari penembak-penembak handalan IPSC adalah mereka yang juga merupakan anggota polis dan tentera sepenuh masa dan menjadikan sukan tersebut sebagai hobi berfaedah di masa lapang.
Dalam apa jua pertandingan IPSC aspek yang paling diutamakan adalah keselamatan. Ini termasuklah apabila mereka bentuk sesuatu gelanggang atau ’course’ di mana peserta akan beraksi. Mutu sesuatu pertandingan IPSC banyak bergantung kepada kualiti cabaran yang dikenakan terhadap para peserta dalam sesuatu gelanggang. Walaupun demikian gelanggang mestilah mempunyai ciri-ciri yang akan menguji kemampuan penembak mengendalikan pistol dan bukan mementingkan keupayaan fizikal beliau secara berlebihan. Apa yang dimahukan dari peserta ialah kemampuan mengasimilasikan tiga faktor yang juga merupakan moto kepada IPSC iaitu ”Diligentia, Vis, Celeritas” ataupun ketepatan, kekuatan dan kepantasan setiap kali melalui gelanggang penembakan yang harus ditempuhi.
Cabaran pada gelanggang juga mestilah pelbagai untuk memberikan peserta pengalaman penembakan yang unik pada setiap gelanggang yang berbeza. Ini bagi mengelakkan peserta dari memberikan tumpuan keterlaluan kepada sesuatu kemahiran sehinggakan ia tidak lagi menjadi satu cabaran yang dinamik. Peserta juga diberikan kebebasan untuk melaksanakan pergerakan dan penembakan bagi menyelesaikan masalah yang dihadapi beliau mengikut kehendak dan kemampuan yang dirasakan dimiliki sendiri. Ini bermakna beliau harus mampu untuk berfikir dan membuat keputusan sama ada untuk melepaskan tembakan atau mengisi kelopak baru mengikut masa dan keadaan sendiri.
Terdapat tiga jenis gelanggang am yang akan digunakan sepanjang pertandingan, ianya adalah gelanggang pendek (Short Courses), sederhana (medium) dan panjang (long). Gelanggang Pendek memerlukan peserta untuk melepaskan tidak lebih dari sembilan tembakan untuk diselesaikan, manakala lokasi darimana penembakan dilaksanakan mestilah tidak lebih dari dua. Gelanggang sederhana pula memerlukan tidak lebih dari 16 tembakan dilepaskan untuk menyelesaikannya dan tidak lebih dari tiga posisi penembakan. Pada mana-mana satu posisi penembakan tidak lebih dari sembilan tembakan boleh dilepaskan dan gelanggang mestilah tidak membenarkan peserta untuk melihat atau mampu melaksanakan kesemua penembakan dari satu posisi. Gelanggang panjang akan menghadkan penembakan tidak melebihi 32 butir peluru untuk diselesaikan pada satu-satu acara. Ia mempunyai syarat sama dari segi posisi dan jumlah sasaran yang boleh dilihat serta tembakan yang dapat dibuat dengan sistem gelanggang sederhana.
Kelengkapan Seperti mana-mana sukan yang melibatkan penembakan, senjata atau dalam IPSC, sistem pistol adalah perkara yang diberikan keutamaan kerana ia merupakan kelengkapan utama. Di negara ini lazimnya pertandingan IPSC melibatkan senjata automatik dan juga peluru berkaliber 9 x 19mm. Walaupun demikian di luar negara, terdapat juga kaliber-kaliber lain seperti .45 yang diguna pakai. Sistem aksesori luaran seperti udi bahu dan sistem pistol yang mampu menmebak dalam mod gugusan atau automatik sepenuhnya di larang dari diguna pakai dalam pertandingan IPSC. Pistol dikategorikan kepada lima kumpulan atau divisyen yang berbeza. Ianya adalah ’Open’, ’Standard’ ,’Modified’, ’Production’ dan akhir sekali ’revolver Standard Division’. Perbezaan antara kelima-lima divisyen adalah lebih tertumpu kepada kriteria atau sifat pistol dan juga aksesori yang boleh di pasangkan padanya. Contohnya dalam ’Open’ serta ’Modified Division’, sistem pejera elektro-optik, sistem penyenyap bunyi dan percikan api serta lubang pengurangan lonjakan laras boleh diguna pakai, namun pada ’Standard’ dan ’Production Division’ perkara ini ditegah. ’Production Division’ boleh dianggap sebagai penggunaan pistol yang paling asas dalam pertandingan IPSC dengan peserta menggunakan jenis pistol yang dihasilkan oleh pengilang asal dan tidak dibenar untuk melaksanakan pembaikan atau penambahan aksesori dan komponen yang dapat menambah prestasi sistem mekanikal mahupun pejera senjata. Untuk mempastikan bahawa sistem pistol yang diguna mematuhi syarat dan undang-undang, Pegawai Lapang Sasar berhak untuk meneliti dan memeriksa mana-mana pistol yang digunakan oleh para peserta sekiranya dirasakan perlu oleh mereka.
Sarung pistol adalah satu lagi kelengkapan yang kritikal bukan sahaja bagi tujuan penyimpanan pistol ketika tidak melaksanakan penembakan, tetapi juga bagi tujuan keselamatan. Sarung pistol yang digunakan mestilah kemas tersemat pada pinggang dan kelopaknya mestilah berada di luar dari tangkai pemegang sebilang masa apabila peserta tidak melaksanakan penembakan. Penukul dan jarum peletup mestilah berada pada kedudukan hadapan untuk mengelakkan dari berlakunya sebarang kemalangan. Bahagian sarung juga mestilah menutupi keseluruhan bahagian picu pistol apabila ia berada tersemat di pinggang para peserta. Peluru mahupun kelopak tambahan pula dibawa bersama dalam sistem ’pouch’ atau peralatan khusus bagi tujuan tersebut. Mana-mana sarung yang membenarkan muncung laras untuk berhayun atau terkeluar sehingga meliputi lebih satu meter di hadapan kaki pengendali tidak boleh diguna pakai dalam pertandingan. Lokasi sarung pada pemakai dan saiznya juga ditetapkan oleh IPSC. Pakaian yang digunakan oleh peserta mestilah selesa dan kemas dan bagi para peserta awam, pemakaian sistem pakaian seragam menyerupai pihak tentera atau polis tidak digalakkan, melainkan beliau adalah seorang anggota pasukan keselamatan. Lazimnya pakaian adalah kemeja T berkolar, seluar yang selesa serta kasut sukan yang mempunyai tahap tapak cengkaman yang masih baik. Bagi tujuan keselamatan, pemakaian cermin mata perlindungan dari kelongsong mahupun serpihan habuk akibat letupan belerang peluru adalah amat kritikal. Begitu juga dengan pemakaian penutup telinga yang mampu memberikan perlindungan kepada gegendang telinga para peserta ketika pertandingan sedang dilangsungkan.
Sasaran Terdapat lima jenis sasaran yang diperuntukkan dalam mana-mana pertandingan IPSC. Ianya adalah sasaran kertas berbentuk segi lapan dengan tiga zon pemarkahan dengan ukuran ketinggian 57sm dan 45sm lebar, dua jenis sasaran berdiri yang diperbuat dari plat logam berbentuk panjang dengan bahagian utama sasaran berbentuk bulat pada atas sasaran dan akhir sekali dua jenis piring logam berbentuk bulat dan segi empat sama. Pemarkahan untuk sasaran kertas ditanda dengan mengira jumlah kesan lubang tembakan dan lokasi di mana ia berada pada pada zon-zon tertentu, manakala bagi sasaran plat berdiri serta piring bulat serta segi empat, kejatuhan plat serta piring akibat terkena tembakan akan dikira sebagai markah penuh.
Sasaran-saran ini akan diletakkan pada posisi-posisi tertentu mengikut kesesuaian acara dan ia tidak dihadkan pada keadaan statik sahaja. Malah terdapat sasaran yang akan bergerak ke hadapan, belakang mahupun ke kiri dan kanan, manakala ada juga yang akan berhayun. Lokasi dan ciri-ciri penembakan yang ditetapkan pula adalah pelbagai. Peserta mungkin akan menembak dari posisi berdiri, melutut atau melalui lubang/tingkap kecil dan kandang-kala dari sudut yang agak sukar untuk mengimbangi badan. Penembakan juga kadang-kala mesti dilakukan dengan menggunakan sebelah tangan dan mereka pula akan berada di atas ’tunggangan’ atau kenderaan seperti motorsikal mahupun kereta. Kesemua ini akan menguji kemampuan peserta selain dari memberikan cabaran yang baik namun mengekalkan tahap keseronokan bersukan.
Selain dari acara berkumpulan yang menyaksikan setiap peserta bertanding menyelesaikan halangan bagi setiap gelanggang, salah satu acara yang kerap dinantikan oleh peserta dan penonton ialah acara jatuh piring atau plat panjang yang bersifat kalah singkir antara pasukan mahupun individu. Dalam pertandingan ini kemenangan adalah berasaskan kepada jumlah plat/piring yang boleh dijatuhkan dalam masa yang paling singkat dengan peraturan-peraturan khusus, contohnya menjatuhkan plat/piring berwarna tertentu sebelum dibenar untuk menembak sasaran lain, atau terpaksa menukar kelopak sebelum piring terakhir dijatuhkan untuk memberikan kemenangan. Berbeza dengan acara gelanggang, acara jatuh piring mem-punyai drama dan mampu memberikan tekanan yang amat tinggi kepada para peserta. Dalam acara ini kesemua tiga faktor moto IPSC, iaitu ketepatan, kekuatan dan kepantasan akan benar-benar diuji.
Tiada kompromi dari sudut keselamatan Sebagai sejenis sukan yang menggunakan senjatapi, para peserta mestilah mematuhi kesemua syarat-syarat dan peraturan keselamatan yang telah ditetapkan oleh pihak IPSC. Pengendalian sistem pistol yang tidak selamat atau cuai akan mengakibatkan peserta disingkirkan dari pertandingan. Ini termasuklah mengendalikan pistol keluar dari sarungnya atau masih tersarung, melainkan telah diarah untuk berbuat demikian oleh pihak pegawai IPSC yang juga lebih dikenali dengan akronimnya sebagai ’RO’ (Range Officer) yang bermaksud Pegawai Lapang Sasar. Selain itu mengendalikan pistol bukan ketika waktu penembakan dengan jari berada di dalam perumah picu juga adalah satu lagi kesalahan yang tidak akan dikompromi. Begitu juga sekiranya tembakan dilepaskan secara tidak sengaja, pistol terjatuh dari genggaman, tanpa mengira apa jua aktiviti yang sedang atau cuba dilaksanakan ketika insiden itu berlaku. Sememangnya sepanjang berlangsungnya acara pertandingan IPSC anjuran UTK, tiada seorangpun dari peserta yang terlibat dalam pertandingan melaksanakan kesalahan-kesalahan besar berkaitan keselamatan seperti terlepas tembakan secara tidak sengaja atau mengendalikan pistol secara merbahaya yang memaksa pihak RO membatalkan penyertaan mereka.
Dirasakan sukan IPSC ini jarang-jarang sekali diketengahkan kepada pihak umum dan apa yang dilakukan oleh pihak UTK dalam penganjuran kejohanan Piala Menteri Dalam Negeri ini adalah sesuatu yang unik dan telah memberikan satu perspektif baru kepada sukan tersebut di negara ini. Selama empat hari kejohanan, dua hari untuk kejohanan terbuka yang menyaksikan para peserta dari kelab dan persatuan awam dibenarkan mengambil bahagian dan dua hari bagi kejohanan tertutup, dikhususkan kepada anggota dan pegawai PDRM sahaja, menyaksikan interaksi yang cukup menarik antara penggemar sukan tersebut. Ini termasuklah dari mereka yang mempunyai kepakaran tinggi kepada yang masih mahu berjinak-jinak dengan sukan tersebut tanpa mengira peringkat umur mahupun lelaki atau wanita. Apa yang diperlukan mungkin sesuatu lonjakan atau usaha tertentu untuk ’memecahkan’ halangan utama yang kerap dikaitkan dengan sukan berkaitan senjata api, iaitu pandangan yang menyatakan bahawa ianya adalah sukan yang khusus untuk yang elit atau di kalangan anggota-anggota agensi keselamatan sahaja. Sememangnya stigma ini ada kebenarannya akibat dari ciri-ciri kawalan keselamatan dan perundangan yang dikaitkan dengan pemberian hak milik dan kelulusan lesen senjata api yang amat ketat di negara ini. Ini tidak dapat dipersalahkan juga kerana sememangnya faktor keselamatan dan kebimbangan kemungkinan akan penyalahgunaan senjatapi dipandang serius oleh pihak berwajib. Yang perlu ialah satu mekanisma yang dapat dirangka oleh pihak berwajid seperti Kementerian Dalam Negeri, pihak PDRM dan juga Kementerian Belia dan Sukan untuk menghasilkan pendekatan baru dapat mendedah dan membolehkan penyertaan pihak awam, baik dari peringkat sekolah sehinggalah kepada awam yang berminat untuk menceburi bidang sukan IPSC dengan selamat, berdisiplin dan memenuhi kriteria-kriteria keselamatan yang ditetapkan.
Seperkara yang menarik ketika pertandingan yang dilaksanakan di Lapang Sasar Briged Tengah ialah jenis-jenis sistem pistol yang digunakan oleh para peserta. Ini termasuklah pistol-pistol yang canggih dan dilengkapi aksesori pelbagai sehinggalah kepada pistol kegunaan am anggota biasa PDRM, ianya datang dari pelbagai pengeluar dan negara. Bagi anggota dan pegawai PDRM antara pistol yang paling utama diguna pakai ketika pertandingan ialah pistol yang paling terkini dalam inventori mereka iaitu sistem pistol Walther P99 buatan Jerman. Selain itu pistol Glock dari Austria dalam pelbagai versi, terutamanya 19 dan 17 adalah antara yang paling utama diguna pakai oleh para peserta, baik awam mahupun PDRM.
Terdapat juga sistem pistol yang agak lebih kehadapan teknologinya seperti sistem pistol CZ Shadow yang dikatakan kini mula mendapat tempat di kalangan penggiat-penggiat IPSC di negara ini. Di kalangan mereka atau tim yang serius dalam pertandingan, tentunya sistem pistol yang digunakan adalah yang lebih canggih. Sistem pistol STI International dari Amerika Syarikat adalah antara pistol yang paling banyak digunakan oleh para peserta IPSC profesional di negara ini. Berbeza dengan kategori pistol ’Production Division’, pistol-pistol buatan STI yang diguna akan bertanding dalam kategori ’Open’ atau ’Modified Division’.
Ini kerana pistol tersebut mempunyai pelbagai aksesori, komponen dalaman dan ciri-ciri mekanikal yang lebih jitu serta efektif. Selain itu ia juga mempunyai ciri-ciri khusus pada laras, seperti kewujudan sistem lubang pengurang lonjakan laras ketika penembakan (yang membolehkan tenangan dibuat dalam masa lebih singkat akibat laras yang tidak melambung ke atas keterlaluan), bahagian liang kelopak yang mempunyai ruang masuk diperbesarkan tapaknya, sistem tombol pengeluaran kelopak dan slide yang lebih berkesan serta pelbagai lagi.
TEMPUR mengajak pembaca untuk melihat kelengkapan dan ciri-ciri pertandingan IPSC secara lebih dekat dalam siri laporan komprehensif mengenai Pertandingan Piala Menteri Dalam Negeri yang diadakan baru-baru ini. |
|
Last Updated ( Sunday, 26 July 2009 )
|
|
Our Partners
|